Kerajaan Sarawak Bantu Bina Rumah Baharu Mangsa Kebakaran Di Kampung Jugan Buso

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kerajaan Sarawak Bantu Bina Rumah Baharu Mangsa Kebakaran Di Kampung Jugan Buso
0 Comments

JUMAAT, 15 OKTOBER 2021

BAU: Kerajaan Sarawak amat prihatin bagi membantu untuk membina rumah baharu untuk mangsa kebakaran di Kampung Jugan Buso.

Pemangku Residen Kuching, Anielia Siam memaklumkan , dana bantuan ehsan kebakaran daripada kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah disalurkan bagi membina baharu rumah mangsa kebakaran, Liew Choi Hee yang telah terbakar pada 16 Jun 2020.

Jelasnya, sebelum ini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Bau telah menghantar tiga laporan mangsa kebakaran dan telah menerima ketiga-tiga dana bantuan ehsan tersebut.

“Satu daripada pembinaan rumah baharu iaitu di Kampung Padang Pan telah siap sepenuhnya manakala dua lagi iaitu di Kampung Jugan Buso dan Kampung Pengkalan Tebang akan mula dibina sebelum hujung tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM70,000 setiap satu,” katanya.

Aniela berharap agar bantuan tersebut dapat membantu meringankan beban keluarga yang terlibat dengan kebakaran berkenaan. –EDISI UKAS