Masyarakat Kota Samarahan Kekal Membudayakan Norma Baharu, Cegah COVID-19

UKAS  > Edisi-Selatan >  Masyarakat Kota Samarahan Kekal Membudayakan Norma Baharu, Cegah COVID-19
0 Comments

ISNIN, 18 OKTOBER 2021

KOTA SAMARAHAN: Masyarakat di Parlimen Kota Samarahan perlu meneruskan pembudayaan norma baharu dan langkah-langkah pencegahan COVID-19 sebelum negara memasuki fasa endemik.

Berucap semasa merasmikan Program Sepakat @ Komuniti Peringkat Daerah Samarahan pada Isnin, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berkata, komuniti di kawasannya dinasihatkan supaya tidak leka, malah harus terus berhati-hati dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dtetapkan kerajaan.

Menurut beliau, tindakan itu penting bagi mengelakkan daripada berlaku kenaikan semula kes jangkitan COVID-19.

“Kita kini berada di program pemulihan negara fasa yang ketiga dan kesan daripada ini kita sekarang menuju ke sebuah era bebas COVID-19 yang dikenali ramai sebagai era endemik COVID-19.

“Masyarakat juga harus meneruskan pembudayaan norma baharu dan langkah-langkah pencegahan COVID-19 terhadap diri dan keluarga masing-masing walaupun kita telah mencapai tempoh imuniti secara kelompok,” katanya.

Dalam program tersebut, Rubiah Wang turut menyampaikan geran berjumlah RM191,000 kepada 53 Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung (JKKK) bagi Daerah Samarahan.

Program anjuran Jabatan Penerangan Daerah Samarahan tersebut bertujuan memasarkan maklumat, isu semasa, dasar dan inisiatif kerajaan selari dengan saranan kerajaan untuk memperkasakan komuniti serta menjadi penghubung komunikasi antara kerajaan dan masyarakat.

Antara pengisian program adalah sesi ceramah oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan mengenai “Kita Frontliner” Peranan dan tangggungjawab komuniti, Infodemik dan pengurusan infodemik COVID-19, BID (Kematian Diluar Hospital), Penggunaan peralatan Oximeter dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Langkah pengurangan risiko jangkitan COVID-19.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Samarahan, Abdul Latip Shamsuddin memberitahu, seramai 50 orang peserta menghadiri program berkenaan yang melibatkan Ketua Kaum Ketua Masyarakat dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang dan Stakan.

Katanya, objektif program itu adalah untuk memperkasakan kesepakatan dalam kalangan komuniti melalui penglibatan dalam penganjuran dan pengisian program anjuran jabatan mahupun agensi kerajaan.

Turut hadir sama, Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Da’an, Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Supritendan Sudirman Kram dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Mohammad Yaakob Morshidi. -EDISI UKAS