Sarawak Terima Peruntukan RM4.09 Bilion Bagi Projek JENDELA

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Sarawak Terima Peruntukan RM4.09 Bilion Bagi Projek JENDELA
0 Comments

AHAD, 24 OKTOBER 2021

SERIAN: Sarawak menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM4.09 bilion dalam projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, peruntukan tersebut adalah untuk pembinaan kira-kira 749 menara telekomunikasi baharu di negeri Sarawak.

Menurutnya, ia adalah selaras dengan usaha kerajaan Sarawak yang memacu dan memantapkan lagi penggunaan ekonomi digital untuk rakyat negeri berkenaan.

Sebelum itu, beliau bersama rombongan mengadakan lawatan program Kembara Connectivity di Kampung Mongkos pada Sabtu.

Dalam lawatan kerja itu, beliau telah mengagihkan perkhidmatan jalur lebar mudah alih bagi kegunaan komuniti di kampung tersebut.

Beliau turut memuji Ketua Kaum Kampung Mongkos, Wilson Tamin Sukit kerana berpengetahuan dan peka akan perlunya perkhidmatan jalur lebar yang pantas bagi memudahkan kemudahan pembelajaran dalam talian dan perkembangan ekonomi penduduk kampung.

Selesai mengadakan lawatan di Kampung Mongkos, beliau serta rombongan meneruskan lawatan ke Pusat Internet Komuniti (PIK) Tebedu.

Turut hadir, Duta Khas Perdana Menteri ke Jepun, Republik Korea dan Taiwan merangkap Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem, ADUN Kedup, Martin Ben, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Mlutimedia Malaysia, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, Residen Bahagian Serian, Tuah Suni, Pegawai Daerah Tebedu, Joseph Liaw serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS