JUMAAT, 12 NOVEMBER 2021
KUCHING: Pemberian dos penggalak di seluruh Sarawak adalah mengikut polisi terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hanya vaksin jenis Pfizer (Comirnaty) telah dibenarkan sebagai dos penggalak kepada penerima dos primer Pfizer atau Sinovac.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Rosemawati Ariffin memberitahu, vaksin jenis Sinovac (Coronavac) hanya digunakan sebagai dos penggalak di dalam keadaan tertentu sekiranya penerima vaksin mempunyai kontrapenunjukan atau kontraindikasi atau alahan kepada vaksin jenis Pfizer.
Jelasnya menerusi kenyataan media pada Jumaat, pemberian dos penggalak juga diberi dengan mengambil kira kategori keutamaan golongan berisiko dan jarak masa yang telah ditentukan mengikut jenis vaksin dos primer diterima sebelum ini.
“Polisi ini adalah sejajar dengan pekeliling serta arahan semasa berkenaan pelaksanaan pemberian dos penggalak dan dos ketiga daripada KKM,” katanya. –EDISI UKAS