PRN12 Sarawak: Hanya Kerajaan GPS Sahaja Mampu Bawa Pembangunan Kepada Sarawak

UKAS  > Edisi-Utara >  PRN12 Sarawak: Hanya Kerajaan GPS Sahaja Mampu Bawa Pembangunan Kepada Sarawak
0 Comments

AHAD, 14 NOVEMBER 2021

MULU: Sejak 2018, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah berjaya membawa banyak pembangunan kepada rakyat Sarawak. 

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala berkata, pembangunan yang dibawa GPS membawa banyak perubahan kepada landskap kehidupan penduduk. 

Ini terbukti apabila banyak projek pembangunan yang telah dibatalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu telah diambil alih Kerajaan GPS dan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat Sarawak. 

“Kerajaan GPS juga berusaha untuk mencari sumber pendapatan untuk membantu penduduk dengan memberikan perkhidmatan seperti Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES), Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan banyak lagi.

“Semasa penularan pandemik COVID-19, Kerajaan GPS telah membelanjakan lebih RM3 bilion bagi membantu rakyat yang terkesan akibat COVID-19 sama ada berbentuk makanan, wang tunai, subsidi dan sebagainya,” katanya semasa berucap dalam lawatan ke Rumah Philip pada Sabtu. 

Ujarnya lagi, tidak cukup dengan itu Kerajaan GPS kini sedang berusaha mendapatkan hak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Tambah Dato Gerawat lagi, beliau masih ingat janji-janji Pilihan Raya Negeri (PRN) 11 dalam menyediakan kemudahan air bersih kepada penduduk Puyut Lubuk Nibong.

“Kerajaan GPS akan terus menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik bagi memastikan pembangunan berterusan dilaksanakan di kawasan DUN Mulu.

“Semua ini hanya akan dapat dicapai sekiranya Kerajaan Sarawak di bawah GPS terus diberikan mandat memerintah bagi tempoh 5 tahun lagi dalam PRN12 Sarawak akan datang ini,” tambahnya. 

Dalam pada itu, Ketua Masyarakat Iban Kawasan Marudi Pemanca Randie Budan dan Ketua Kampung Sri Upar Marudi Tuai Rumah Philip Bayu memberitahu masih banyak pembangunan yang diperlukan penduduk di kawasan ini dan percaya hanya GPS sahaja yang mampu melaksanakannya. 

“Sejak Dato Gerawat menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di DUN Mulu ini telah banyak pembangunan yang telah dibawa. 

“Pembinaan Jalan Miri-Mulu sehingga ke Limbang yang telah dirasmikan akan memberikan banyak manfaat apabila siap kelak. 

“Penduduk di sini amat memerlukan pembangunan dan percaya hanya Kerajaan GPS sahaja yang dapat menyediakannya,” katanya. 

Bagi kaum wanita, Kaunselor Yanti Nyanggau mahu mereka terus memainkan peranan penting dalam arus pembangunan dengan menyokong kepimpinan Dato Gerawat. 

“Wanita perlu bekerjasama dan memberikan sokongan kepada GPS untuk memastikan kesinambungan pembangunan akan terus dilaksana.

“Ini kerana Kerajaan GPS telah banyak membantu golongan wanita selama ini,” katanya. -EDISI UKAS