Jambatan Kemena Rancakan Pembangunan Semula Bandar Bintulu, Sediakan 7,000 Lot Dalam Pelbagai Fasa

UKAS  > Edisi-Utara >  Jambatan Kemena Rancakan Pembangunan Semula Bandar Bintulu, Sediakan 7,000 Lot Dalam Pelbagai Fasa
0 Comments

SELASA, 23 NOVEMBER 2021

BINTULU: Sementara itu, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Zohari menambah, Pembangunan Semula Bandar Bintulu Fasa 1 ini juga berkait rapat dengan pembinaan Jambatan Kemena. 

Katanya, Jambatan Kemena ini bukan sahaja menghubungkan Kampung Jepak dengan Bandar Bintulu, tetapi juga memendekkan jalan menuju ke Lapangan Terbang Bintulu. 

“Kita tahu bahawa apabila kita hendak membangunkan kawasan ini, kita berkehendakan dengan kawasan yang baharu perumahan, kedai dan lain-lain di kawasan ini. 

“Kalau tidak ada kedai, tidaklah lengkap. Maka, kita bangunkan kawasan di seberang ini termasuk Kampung Jepak. 

“Kita bertambah penduduk dan kita mahu harga rumah jangan melambung hingga menyebabkan rakyat tidak mampu membeli. Ini disebabkan niat kita hendak menolong rakyat supaya dapat membeli rumah,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Pelancaran Projek Pembangunan Semula Bandar Bintulu Fasa 1 di Jepak, Kuala Tatau Bintulu pada Selasa.

Untuk memastikan perancangan Pembangunan Semula Bandar Bintulu Fasa 1 Jepak ini dilaksanakan, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Zohari telah mengarahkan Jabatan Tanah dan Ukur menyediakan 7,000 lot dengan setiap lot sebesar 12 point. 

“Dalam perancangan ini, saya telah mengarahkan Jabatan Tanah dan Ukur untuk menyediakan lot sebanyak 7,000 lot. 

“Kesemua lot ini akan kita bangun mengikut fasa…. Setiap satu lotnya sebanyak 12 point. Dan, kita bangunkan rumah mampu milik untuk rakyat di Bintulu,” katanya lagi. 

Untuk memastikan kawasan Kampung Kemena ini mencapai pembangunan sebagai sebuah bandar, bangunan pentadbiran kerajaan juga akan dipindahkan ke Kampung Jepak. 

Sebagai permulaan, kawasan pentadbiran Residen Bahagian Bintulu akan ditempatkan di Kampung Jepak dan pembinaannya sedang dilaksanakan. 

“Pertama yang kita buat, sebelum ini Tun Abdul Rahman buat di kawasan Matang, Petra Jaya ialah membina bangunan Tuanku Abdul Rahman, bangunan Pejabat Ketua Menteri. 

“Ini digunakan bagi membuka Petra Jaya untuk terus membangun. 

“Asas itu kita juga membuka di Bintulu dengan mengalih Pejabat Residen Bahagian Bintulu dari seberang ke Kampung Jepak sebagai permulaannya,” ujarnya lagi. 

Hadir sama Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip, Menteri Utiliti Sarawak Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato’ Sri Prof Dr Sim Kui Hian,  Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Dato’ Majang Renggi, ADUN Murum Chukpai Ugon, Residen Bahagian Bintulu Datu Jack Aman Luat, Timbalan Pengerusi BDA Dato’ Haider Khan Asghar Khan, Pengurus Besar BDA Datu Mohamad Yakup Kari, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).-EDISI UKAS