Karnival Kerjaya SABERKAS Bantu Penduduk Tempatan Hilang Pekerjaan Dan Belia Dapatkan Pekerjaan

UKAS  > Edisi-Utara >  Karnival Kerjaya SABERKAS Bantu Penduduk Tempatan Hilang Pekerjaan Dan Belia Dapatkan Pekerjaan
0 Comments

AHAD, 28 NOVEMBER 2021

MIRI: Karnival Kerjaya SABERKAS Kolaborasi Bersama PERKESO Miri telah menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan khususnya di Miri bagi mengisi kekosongan jawatan. 

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, banyak syarikat telah mengambil bahagian bagi membantu masyarakat mendapatkan kembali pekerjaan selepas kesan penularan pandemik COVID-19. 

“Saya berasa gembira sebab sebanyak 18 buah syarikat telah menyertai program kerjaya pada hari ini. 

“Ini memberi peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan yang hilang kerja atau belia yang sedang mencari kerja dalam tempoh masa dua tahun ini atau pandemik COVID-19,” katanya semasa berucap dalam Karnival Kerjaya SABERKAS Kolaborasi Bersama PERKESO Miri yang diadakan di Hotel Imperial Miri pada Sabtu. 

Sebanyak 1,224 kekosongan jawatan telah ditawarkan 18 buah majikan manakala 13 buah majikan mengadakan temuduga secara fizikal dan tiga buah majikan lagi secara dalam talian serta dua majikan lagi menggunakan ‘Dropbox’.

Datuk Sebastian Ting yang juga Ketua Cawangan SABERKAS Piasau turut memberitahu pada tahun depan Miri akan menerima kehadiran 2,000 pekerja dari Shell dan Petronas yang sekaligus memperkembangkan ekonomi setempat.

“Saya berharap tahun 2022, Miri akan lebih bagus lagi. 

“Ini disebabkan 1,500 pekerja dari Syarikat Shell akan balik ke Miri. Begitu juga dengan 500 orang Senior Executive Petronas juga akan berpindah balik ke Miri bagi memperkembangkan operasinya,” ujarnya. . 

Hadir sama Timbalan Pengarah PERKESO Negeri Sarawak Dundang Undong, Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang dan Pemangku Timbalan Residen Bahagian Miri Rose Edward Tarang.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *