Penduduk DUN Semop Terima Perkhabaran Gembira, Ketua Menteri Lulus Peruntukan RM48 Juta

UKAS  > Edisi-Utara >  Penduduk DUN Semop Terima Perkhabaran Gembira, Ketua Menteri Lulus Peruntukan RM48 Juta
0 Comments

KHAMIS, 2 NOVEMBER 2021

DARO: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop menerima perkhabaran gembira apabila Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meluluskan peruntukan sebanyak RM48 juta bagi menaik taraf kemudahan di konstituensi berkenaan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, dana RM20 juta diluluskan untuk menaik taraf empat jambatan sedia ada bagi menghubungkan jalan raya di kawasan tersebut termasuk projek menaik taraf jalan ladang.

Manakala ujar beliau, peruntukan sebanyak RM22 juta diperuntukkan bagi membaiki benteng bagi kawasan pertanian dan peruntukan RM6 juta lagi untuk pembinaan masjid.

“Saya datang ke sini dan meluluskan peruntukan pembangunan ini bukan disebabkan pilihan raya negeri akan datang, namun ia sudah lama dalam perancangan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan simbolik pelancaran penanaman tukun tiruan di perairan Paloh – Pulau Bruit di Dewan Kampung Tekajong, Daro pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Zolkipli Mohammad Aton, mantan ADUN Repok, Datuk Sri Huang Tiong Sii dan mantan ADUN Daro, Safiee Ahmad.

Dalam pada itu, Ketua Menteri memberitahu Pulau Bruit bakal bersambung dengan tanah besar apabila siapnya pembinaan Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Lassa.

“Pulau Bruit tidak akan terpisah daripada tanah besar Sarawak apabila siapnya pembinaan Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Lassa

“Ini bukan omongan kosong kerana pembinaan kedua-dua jambatan itu sedang giat dilaksanakan,” ujarnya sambil menambah, jambatan tersebut boleh membawa paip air di atasnya daripada grid air di tanah besar dan ini sekaligus menyelesaikan masalah air disitu.

Sementara itu, beliau memberitahu, penanaman tukun tiruan di perairan Paloh hingga ke Pulau Bruit adalah salah satu inisiatif kerajaan negeri membantu komuniti nelayan.

“Kerajaan negeri telah memperuntukan sebanyak RM70 juta untuk menanam tukun tiruan di perairan pulau di sini dan di tempat lain selain sepanjang pantai Sarawak, dan kini terbukti daripada kajian program ini telah mempertingkatkan populasi ikan sekaligus menambahkan pendapatan para nelayan pantai,” katanya.

Pada majlis tersebut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari telah menyaksikan penyerahan warta rizab komunal Bumiputera dan surat hak milik tanah kepada para penerima di Pulau Bruit, penyampaian dividen ladang sejahtera dan penyerahan bantuan musim tengkujuh nelayan. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *