Undi 18 Tahun Dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik Tidak Akan Dilaksanakan Pada PRN Sarawak

UKAS  > Edisi-Utama >  Undi 18 Tahun Dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik Tidak Akan Dilaksanakan Pada PRN Sarawak
0 Comments

KHAMIS, 2 DISEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak akan dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) yang akan diadakan pada 18 Disember.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan, walaupun kerajaan telah pun mewartakan arahan tersebut, pilihan raya negeri pada kali ini hanya melibatkan Daftar Pemilih Pilihan Raya terkini yang dikemas kini sehingga 2 November 2021.

Daftar Pemilih Pilihan Raya tersebut telah diperakui sebelum pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak yang Ke-11 pada 3 November 2021, selaras dengan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“Keputusan ini adalah berdasarkan proses undang-undang, termasuklah keputusan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching dan bukannya untuk menafikan atau mengetepikan hak dan hasrat para belia yang berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi.

“Saya ingin menjelaskan di sini bahawa tiada desakan dari mana-mana pihak dalam isu ini. Malah, Sarawak sememangnya sudah bersedia untuk menerima pengundi-pengundi muda ini. Saya berharap isu ini janganlah dipolitikkan,” kata Dato Sri Dr Wan Junaidi dalam kenyataan media pada Khamis.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan bahawa Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung dengan had kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan pada 1 Disember 2021 dan akan berkuat kuasa pada 15 Disember 2021 setelah mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching telah memerintahkan SPR dan kerajaan untuk melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya pada 31 Disember tahun ini. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *