Program Kongsi Fakta Anjuran UKAS Platform Terbaik Sebar Maklumat Tepat Dan Sahih Kepada Rakyat

UKAS  > Edisi-Utama, Edisi-Utara >  Program Kongsi Fakta Anjuran UKAS Platform Terbaik Sebar Maklumat Tepat Dan Sahih Kepada Rakyat
0 Comments

RABU, 8 DISEMBER 2021

LONG LAMA: Program Kongsi Fakta anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) merupakan platform terbaik dalam menyampai serta menyebarkan maklumat-maklumat yang tepat dan sahih mengenai dasar-dasar kerajaan negeri kepada rakyat secara keseluruhannya.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, program seumpamanya berupaya membantu kerajaan negeri dalam menyampaikan inisiatif, dasar, pencapaian dan polisi kepada rakyat dari masa ke semasa.

Menurut beliau, setiap maklumat yang disebarkan seharusnya tepat dan sahih agar rakyat tidak terkeliru.

“UKAS harus menjadi penyampai maklumat yang efektif dengan menggunakan pelbagai medium komunikasi terkini seperti media sosial untuk memastikan dasar-dasar kerajaan sampai ke peringkat akar umbi.

“Misalnya, membantu menyebarkan maklumat terkini berkaitan kesedaran kepada orang awam dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19 di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Kongsi Fakta Daerah Telang Usan di Dewan SJKC Kee Tee, Long Lama di sini pada Rabu.

Hadir sama Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau, Pengarah UKAS, Samat Junai, calon GPS N.77 Dennis Ngau serta tetamu jemputan lain.

Sementara itu, taklimat mengenai kesedaran awam menuju fasa endemik telah disampaikan oleh pegawai dari Pejabat Kesihatan Miri.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II juga melakukan penyampaian sumbangan barangan keperluan perlindungan COVID-19 kepada sekolah dan rumah ibadat di Long Lama. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *