KMKK Perlu Tahu Hala Tuju Kerajaan

UKAS  > Edisi-Utama >  KMKK Perlu Tahu Hala Tuju Kerajaan
0 Comments

JUMAAT, 17 DISEMBER 2021

MUKAH: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang merupakan sebahagian daripada kerajaan perlu mengetahui hala tuju kerajaan.  

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini kerana mereka merupakan pemimpin di akar umbi yang mengetahui permasalahan yang berlaku dan pembanguann yang perlu dilaksanakan untuk rakyat.

“KMKK dan Kerajaan adalah ibarat aur dan tebing. Itulah cara kita memerintah negeri kita dari dahulu lagi, ia turun temurun sampai ke hari ini.

“Ketua Masyarakat mesti mengetahui dengan hala tuju denga kerajaan yang ada. Jadi hala tuju ini adalah dasar kita dan dasar ini dibuat mengambil kira  apa yang dikhendaki oleh akar umbi.

“Ini cara kita dan alhamdulillah kita bersyukur kepada Tuhan, kerana pemimpin sebelum ini telah merangka dasar yang mempunyai kesan untuk masa depan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kingwood Resort Mukah pada Jumaat.

Dalam pada itu, bercakap mengenai pembangunan di Mukah, Ketua Menteri memuji transformasi pembangunan di situ dan yakin Mukah akan membangun seperti kawasan lain pada tahun 2030.

“Untuk tahun 2030 kawasan ini akan membangun sepertimana kawasan yang lain bahkan kawasan lain melihat mukah sebagai model, Gedong juga melihat kepada Mukah. Saya cakap dengan rakyat di Gedong. Kalau kita hendak membangun, ikutlah seperti orang di Mukah.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari kemudiannya telah menyerahkan Surat Hakmilik Tanah (Pertanian) Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) Peringkat kedua inisiatif baharu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kepada wakil penerima dari DUN Tellian dan Balingian.

Turut disampaikan surat kelulusan Skim Pembesaran kampung (SPK) bagi kawasan baru Oya dan senau fasa 1 kepada wakil penerima .

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) merangkap Ahli Parlimen P.213 Mukah Dato Hanifah Hajar Taib, Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Sarawak yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga, dan Pembagunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *