Sarawak Negeri Pertama Dapatkan ‘Ronapreve’ Rawat Pesakit COVID-19

UKAS  > Edisi-Selatan >  Sarawak Negeri Pertama Dapatkan ‘Ronapreve’ Rawat Pesakit COVID-19
0 Comments

KHAMIS, 23 DISEMBER 2021

KUCHING: Sarawak negeri pertama di Malaysia yang berjaya memperoleh rawatan antibodi Ronapreve bagi merawat pesakit COVID-19 bagi kategori 4.

Menurut Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian, Ronapreve ialah satu lagi senjata untuk pakar perubatan melawan wabak tersebut.

Jelasnya lagi, Ronapreve pernah digunakan bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semasa dijangkiti virus itu pada tahun lepas ketika fasa percubaan. 

“Terima kasih kepada Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (Scovag) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak kerana telah berjaya memperoleh Ronapreve untuk pesakit COVID-19 bagi kategori 4. 

“Malah, hospital awam di Sarawak satu-satunya hospital yang mempunyai ubat ini yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan KKM pada 14 Disember lalu,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial pada Rabu. 

Sarawak berjaya mencatat sejarah apabila berjaya mendapat ubat Ronapreve kerana setakat ini belum terdapat mana-mana hospital awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh Malaysia memperoleh ubat tersebut. 

Jelas Dato Sri Dr Sim lagi, Scovag dan JPBN Sarawak menjalankan misi bagi pihak Kerajaan Sarawak demi memastikan kesinambungan perkhidmatan untuk rakyat Sarawak termasuk bagi mendapatkan ubat tersebut. 

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kerana menyediakan peruntukan untuk ubat-ubatan yang sangat mahal yang menelan belanja beribu-ribu ringgit untuk satu dos tersebut sebelum pembubaran DUN Sarawak. 

Ujarnya lagi, Kerajaan Sarawak juga mendahului Kerajaan Persekutuan dalam membeli ubat tersebut bagi keperluan rakyat di negeri ini.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *