Kemenangan Bergaya Isyarat Rakyat Terima & Fahami Dasar Dibawa GPS

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kemenangan Bergaya Isyarat Rakyat Terima & Fahami Dasar Dibawa GPS
0 Comments

ISNIN, 17 JULAI 2022

KUCHING: Kemenangan bergaya Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang lepas jelas mencerminkan rakyat di negeri ini menerima dan memahami dasar dan polisi yang dibawa GPS.

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, dasar dan polisi yang diperkenalkan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Johari merupakan polisi yang menyentuh kebajikan rakyat.

Menurutnya, kemenangan besar GPS adalah satu mandat perlu dipikul dengan amanah oleh wakil rakyat GPS dengan memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Kekuatan GPS adalah dari awal sehingga ke sekarang sentiasa menjaga kebajikan rakyat dengan baik dan sentiasa menyokong polisi yang diperkenalkan pucuk pimpinan kita.

“Selama menjadi kerajaan GPS, kerajaan kita mengamalkan polisi yang tepat untuk rakyat kerana kita fokus kepada tugasan, kerja kita serta tidak terlalu berpolitik dan ini semua telah dibuktikan melalui pilihan raya yang lepas di mana GPS telah menang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis kesyukuran meraikan kemenangan GPS DUN N25 Simunjan di Raia Hotel di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris memberitahu, pilihan raya yang lepas merupakan pilihan raya negeri yang paling bersejarah kerana GPS telah memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Jelas beliau, menerusi mandat yang telah diberikan, beliau akan merealisasikan pembangunan yang dihajatkan oleh rakyat di Simunjan.

“Kita di DUN N25 Simunjan sangat bertuah sekali kerana dikelilingi oleh kawasan-kawasan DUN yang diketuai oleh Ketua Menteri Sarawak di DUN N26 Gedong, Menteri di DUN N27 Sebuyau serta Menteri Muda di DUN N24 Sadong Jaya dan sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada kita di kawasan ini,” katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan merangkap ADUN N24 Sadong Jaya, Ir. Aidel Lariwoo, Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu, Pegawai Daerah Simunjan Abdul Khalid Manap, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Mohd Rizal Zakaria serta Setiausaha Politik Kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Mohammed Kamaluddin Effendi serta Timbalan Ketua Cawangan N25 Simunjan merangkap Pengerusi Pengelola Majlis, Bojeng Ali. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *