Kolokium Kajian Tindakan Guru Platform Tingkat Mutu Pendidikan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kolokium Kajian Tindakan Guru Platform Tingkat Mutu Pendidikan
0 Comments

JUMAAT, 11 FEBRUARI 2022

KUCHING: Kolokium Kajian Tindakan Guru merupakan plaform bagi warga pendidik untuk berkerjasama dan berkongsi idea untuk mempertingkatkan mutu pendidikan.

Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berharap pembentangan oleh para guru dalam program ini akan diteruskan pada masa hadapan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang berkesan untuk murid-murid mereka.

“Guru yang inovatif bukan sahaja melahirkan murid yang kreatif tetapi juga murid yang berfikiran kritis. Ini penting untuk menyediakan murid-murid kita untuk menghadapi cabaran yang akan datang,” katanya semasa Majlis Penutupan Kolokium Kajian Tindakan Guru Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian yang melibatkan 150 orang guru di Hotel Margherita, Kuching pada Jumaat.

Ujar Datuk Roland Sagah, tidak dapat dinafikan pada masa kini, kepentingan guru memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2025.

“Oleh itu, guru akan membantu menyumbang atau menjadi pemangkin kepada perubahan untuk melihat perubahan itu,” katanya lagi.

Hadir sama, Setiausaha Tetap MEITD, Datu Kameri Affandi, Pengarah Institut Aminuddin Baki Sarawak Judah Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Omar Haji dan Pegawai Pendidikan Daerah Serian, Charlie Ungang.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *