‘Premier’ Pengiktirafan Status Istimewa Sarawak Dalam Malaysia

UKAS  > Edisi-Utama, Edisi-Utara >  ‘Premier’ Pengiktirafan Status Istimewa Sarawak Dalam Malaysia
0 Comments

AHAD, 20 FEBRUARI 2022

MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menjelaskan penggunaan nama ‘premier’ merupakan pengiktirafan istimewa ke atas Sarawak. 

Katanya, tanpa Sarawak tiada Malaysia dan adanya Sarawak dan Sabah, maka terbentuknya Malaysia. 

“Saya hanya ingin mengatakan bahawa ia bukan penjelasan yang melangkau DUN Sarawak, tetapi ia adalah pengiktirafan status istimewa Sarawak dalam Malaysia. 

“Tanpa Sarawak, tiada Malaysia dan dengan adanya Sarawak dan Sabah itulah Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Perpaduan 2022 anjuran Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri di Eastwood Valley Golf & Country Club Miri pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut menjelaskan ini dapat dilihat apabila kita mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah ditandatangani oleh 5 pihak iaitu United Kingdom (UK), Persekutuan Tanah Melayu, North Borneo (Sabah), Sarawak dan Singapura. 

“Mereka telah menandatangani Perjanjian Malaysia pada 9 Julai 1963 bahawa bagi membentuk satu negara baru yang dipanggil Malaysia. 

“Untuk itu, kita (Sarawak) adalah identiti yang berasingan dan ini mesti diiktiraf. 

“Saya fikir Kerajaan Malaysia dan semua ahli Parlimen mengiktiraf MA63 mengikut Perlembagaan Persekutuan dengan sifat semula jadi menjadi sebahagian dan rakan kongsi di bawah Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya. 

Sehubungan itu, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berpandangan bahawa takrifan Kerajaan Sarawak mestilah berbeza dari negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu.

Jelas beliau lagi, semua ini bukan untuk dirinya, tetapi untuk Sarawak. 

“Bukan untuk saya sebabnya ini untuk Sarawak. 

“Sarawak adalah satu entiti yang berbeza daripada negeri-negeri lain dalam Malaysia kerana ia perlu konsisten dengan Perjanjian Malaysia 1963,” jelas beliau lagi. 

Pada majlis itu juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari telah menyampaikan Mock Cek berjumlah RM5,000 masing-masing kepada Sekolah Menengah (SM) Pein Min dan SM Riam. 

Turut diumumkan jumlah peruntukan sebanyak RM500,000 yang disumbangkan Ketua Menteri kepada Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri 

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Muda Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus, Menteri Muda Pembangunan Usahawan merangkap (ADUN) Lambir Dr Ripin Lamat, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut yang juga Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Presiden Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri Dato David Goh Kien Ping dan Timbalan, Pengerusi Pengelola Malam Perpaduan 2022 merangkap Naib Setiausaha Gabungan Pertubuhan Cina Sarawak Cik Lee Yen Ling, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri Ling Chiang Sing dan Timbalan Presiden Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri James Hii Sing Long. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *