Sarawak X-Tive Terap Budaya Hidup Sihat, Aktif

UKAS  > Edisi-Tengah >  Sarawak X-Tive Terap Budaya Hidup Sihat, Aktif
0 Comments

ISNIN, 7 MAC 2022

MUKAH: Penganjuran Sarawak X-tive 2022 bertujuan merealisasikan hasrat dan visi kerajaan negeri menjadikan Sarawak negeri yang mengamalkan budaya hidup sihat dan aktif.

Dalam hal ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menyambut baik program julung kali diperkenalkan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak kerana berjaya menarik penyertaan masyarakat khususnya di Bahagian Mukah untuk bergiat aktif dalam aktiviti sukan.

“Kita dapat lihat Sarawak X-tive ini bertujuan merealisasikan hasrat dan inspirasi kerajaan negeri menjadikan Sarawak negeri yang mengamalkan gaya hidup sihat aktif sehingga menjadi budaya hidup,” katanya semasa perasmian Sarawak Xtive Peringkat Bahagian Mukah pada Sabtu lepas di Dataran Pehin Setiaraja Mukah.

Seramai 300 peserta mengambil bahagian dalam program tersebut yang melibatkan pelbagai aktiviti sukan dan riadah seperti zumba, kayuhan santai, sukan ekstrim basikal BMX dan skateboard, sukan tradisional Giwai, sukan tradisional Gudi dan sepak raga bulatan.

Sarawak Xtive yang diadakan serentak di semua 12 bahagian negeri telah dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Gedong, Simunjan pada 5 Mac lepas.

Pada sebelah petang, Royston meluangkan masa menyertai Pertandingan Bolasepak 5 sebelah Piala Sarjan Paul, Tellian yang diadakan di Kampung Tellian Ulu.

Permainan bola sepak tersebut cukup unik kerana dimainkan di kawasan lapang yang becak.

Ia melibatkan lapan pasukan di kalangan penduduk di kawasan kampung Tellian Ulu, Mukah.

Pada sebelah malam, Royston menyantuni pasukan KRT Petanak melaksanakan tugasan rondaan keselamatan kampung.

Dalam lawatan ringkasnya itu, beliau turut menyampaikan maklumat berkenaan agenda pembangunan yang akan dilaksanakan di Mukah amnya dan di kawasan Petanak khususnya. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *