Kerajaan Sarawak Pegang Prinsip Pemerkasaan Wanita, Angkat Martabat Wanita

UKAS  > Edisi-Utama, Edisi-Utara >  Kerajaan Sarawak Pegang Prinsip Pemerkasaan Wanita, Angkat Martabat Wanita
0 Comments

SELASA, 8 MAC 2022

MIRI: Kerajaan Sarawak sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita kerana golongan tersebut merupakan salah satu tonggak pembangunan yang amat penting merangkumi segala aspek pembangunan negeri dan negara.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, terbukti kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai kesungguhan dalam mengangkat martabat wanita apabila memasukkan komitmen untuk ‘Memperkasakan Penglibatan Wanita dalam Pembangunan Sarawak’ dalam Manifesto GPS pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) yang lepas.

Menurutnya, janji dalam manifesto tersebut bukan sesuatu kenyataan yang tidak berasas kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerajaan negeri menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk golongan tersebut.

“Antaranya, melatih hampir 18,000 ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah dalam pelbagai kemahiran di Pusat Latihan Wisma Wanita (WWTC) sejak tahun 2015.

“Seterusnya, meluluskan Geran Usahawan Wanita sebanyak RM3.5 juta yang telah memberi manfaat kepada 1,300 usahawan wanita untuk memulakan atau meningkatkan perniagaan mereka sejak 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah semasa merasmikan sambutan Hari Wanita 2022 Peringkat Sarawak di sini pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak), Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat II (Kesejahteraan Masyarakat), Mohamad Razi Sitam, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Telang Usan, Dennis Ngau dan Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu, KPWK juga telah melahirkan lebih 210 wanita dengan kemahiran kepimpinan melalui ‘Sarawak Women in Leadership and Decision Making’ sejak 2019.

Tambah beliau, KPWK juga telah menyediakan kemudahan untuk usahawan wanita mendaftar lesen perniagaan melalui Program Pelesenan Perniagaan selain menaik taraf Biro Wanita kepada Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak bagi memperkasakan peranan wanita dalam dalam pembangunan sosio-ekonomi Sarawak.

“KPWK juga melatih wanita sebagai Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum dan Ahli Majlis Tempatan, meningkatkan bilangan wanita dalam kepimpinan di sektor awam.

“KPWK turut memberi pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang wanita Sarawak pada setiap tahun sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia dan Sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun jelas beliau, usaha-usaha itu belum mencukupi, khususnya kepimpinan wanita di sektor awam dan sektor korporat, dan usaha akan diteruskan supaya suatu hari nanti kaum wanita boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki seperti yang dijanjikan dalam Manifesto GPS.

“Ini kerana, kaum lelaki dan wanita adalah rakan kongsi setara dalam apa jua bidang dan pada zaman ini tiada lagi cogan kata ‘Di sebalik kejayaan setiap lelaki, sentiasa adanya wanita’

Behind every successful men there is always a woman’ tetapi seharusnya keadaannya sekarang ialah ‘Dalam setiap lelaki yang berjaya, sentiasa ada seorang wanita’,” katanya. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *