131 Penumpang Pesawat SCOOT Dari Singapura Tiba Di Lapangan Terbang Miri

UKAS  > Edisi-Utara >  131 Penumpang Pesawat SCOOT Dari Singapura Tiba Di Lapangan Terbang Miri
0 Comments

AHAD, 3 APRIL 2022

MIRI: Seramai 131 orang penumpang pesawat SCOOT dari Singapura tiba di Lapangan Terbang Miri pada Sabtu.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ini merupakan kunjungan pertama pelancong daripada Singapura selepas pembukaan sempadan Sarawak.

“Ini merupakan penerbangan pesawat pertama dan kumpulan pertama yang tiba di Miri selaras dengan pembukaan sempadan pada 1 April mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan untuk memantau kelancaran kemasukan kunjungan pertama pelancong daripada Singapura di Balai Ketibaan, Lapangan Antarabangsa Miri pada Sabtu.

Dato Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, pelawat termasuk rakyat Sarawak di Singapura yang ingin masuk ke negeri ini disyaratkan membuat ujian RT-PCR dengan keputusan negatif dua hari sebelum berlepas dan sejurus tiba di negeri ini dengan kos ditanggung sendiri.

“Manakala, penumpang yang transit di Singapura seperti dari United Kingdom, Australia dan New Zealand untuk meneruskan penerbangan ke Miri, mereka perlu menjalani ujian RTK-AG,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut menyatakan harapan supaya lebih banyak penerbangan terus daripada Singapura diadakan kerana dengan peningkatan bilangan penumpang ia akan memberi manfaat ekonomi kepada Miri.

Mengulas lanjut tentang sempadan darat Brunei di Sungai Tujuh, beliau turut berharap agar sempadan tersebut dapat dibuka secara sepenuhnya dengan secepat mungkin agar dapat membantu memulihkan serta merancakkan sektor ekonomi negara.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Imigresen Malaysia, Negeri Sarawak (Pengurusan) Azlan Othman, dan Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman Packierisamy.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *