Kerajaan Komited Iktiraf Budaya Kerja Cemerlang Tingkatkan Produktiviti Serta Mutu Kerja

UKAS  > Edisi-Utara >  Kerajaan Komited Iktiraf Budaya Kerja Cemerlang Tingkatkan Produktiviti Serta Mutu Kerja
0 Comments

AHAD, 3 APRIL 2022

MIRI: Kerajaan sentiasa komited dalam mengiktiraf budaya kerja cemerlang, komitmen dan jasa yang diberikan oleh warganya dengan menyediakan pelbagai anugerah atau ganjaran. 

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Datuk Hasbi Habibollah, melalui penghargaan ini akan menggalakkan warga kerja untuk terus memberikan komitmen dan daya usaha bagi mempertingkatkan produktiviti serta mutu kerja yang berkualiti tinggi. 

“Ini sekali gus menjadikan perkhidmatan kerajaan kekal sebagai perkhidmatan yang relevan dan diyakini oleh rakyat, serta menepati kehendak dan ekspektasi mereka. 

“Pengiktirafan ini juga seharusnya mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan semua warga kerja RISDA untuk membuktikan keupayaan masing-masing bagi menghasilkan perkhidmatan yang terbaik,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 RISDA Negeri Sarawak di Hotel Imperial, Miri baru-baru ini. 

Seramai 17 pegawai dan anggota RISDA Negeri Sarawak menerima APC Tahun  2021.

Tambah Datuk Hasbi lagi, pada tahun ini RISDA juga akan terus mengorak langkah memperkasakan kecekapan organisasi dan sistem penyampaiannya bagi menterjemahkan visi kementerian kepada program-program yang boleh dilaksanakan demi kesejahteraan pekebun kecil.

Jelasnya, Model Perancangan Strategik RISDA (MPSR) Tahun 2021 hingga 2025 adalah selaras dengan Pelan Strategik KPLB Tahun 2021 hingga 2025 yang bermatlamat meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

“Melalui penghasilan prestasi kerja yang tinggi daripada seluruh warga kerja RISDA, sasaran untuk merealisasikan impian RISDA bagi memastikan pekebun kecil memperoleh pendapatan RM4,500 sebulan sekeluarga pada tahun 2025 akan dapat dicapai dan seterusnya meningkatkan kegemilangan pembangunan sektor pekebun kecil dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ini. 

Pada majlis itu, Yayasan RISDA juga telah menyampaikan Sumbangan Khas Bantuan Persekolahan sebanyak RM200 seorang kepada 65 orang anak-anak staf RISDA Negeri Sarawak dan 67 orang anak-anak staf RISDA Negeri Sabah serta Insentif Pendidikan Staf sebanyak RM500 seorang kepada 3 orang staf RISDA Negeri Sarawak dan 4 orang staf RISDA Negeri Sabah yang sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Turut sama hadir Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Ketua Pengarah RISDA Datuk Abdullah Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan RISDA merangkap Pengarah Pejabat Ketua Pengarah Mohd Hafiz Wan Ibrahim, Pengarah RISDA Negeri Sarawak Shaharuddin Saberi dan Pengarah RISDA Negeri Sabah Shazwan Mazly Mazlan.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *