Sibu Tuan Rumah Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak

UKAS  > Edisi-Tengah >  Sibu Tuan Rumah Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak
0 Comments

SELASA, 12 APRIL 2022

SIBU: Buat julung kalinya, Bahagian Sibu dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Tahun 1443H/2022M.

Sambutan bertemakan ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ itu akan diadakan pada 18 April 2022 bertempat di Masjid An-Nur Sibu.

Ia akan dihadiri TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta iseri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Menurut Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha, terdapat dua buah program yang akan berlangsung iaitu Sambutan Nuzul Al-Quran dan Seminar Bicara Ramadhan.

“Seramai 330 orang akan dijemput untuk menyertai program Sambutan Nuzul Al-Quran yang akan berlangsung di Masjid An-Nur Sibu.

“Walaupun kita sedang menghampiri zaman endemik tetapi kita tidak dapat memenuhi kehendak semasa untuk memenuhi semua ruang masjid,” katanya dalam mesyuarat yang diadakan secara Zoom pada Isnin.

Turut serta dalam mesyuarat di Pejabat Residen Bahagian Sibu ialah Setiausaha Majlis Islam Sarawak merangkap Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Ustaz Khalidi Ibrahim dan Residen Bahagian Sibu, Wong Hee Sieng.

Sehubungan itu, Datu Misnu menyeru masyarakat Islam sekitar Sibu dan kawasan yang berdekatan seperti Mukah, Kanowit, Sarikei dan Kapit agar dapat turut sama memeriahkan sambutan kali ini.

Antara pengisian program adalah diadakan Tazkirah Nuzul Al-Quran oleh Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Selain itu, program sampingan yang akan diadakan sempena Sambutan Nuzul Al-Quran nanti adalah Bicara Ramadhan yang akan diadakan pada 19 April 2022 bertempat di Kompleks Islam Sibu. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *