Sarawak & Sabah Wajar Dipertimbangkan Untuk Jawatan Timbalan Perdana Menteri

UKAS  > Edisi-Selatan >  Sarawak & Sabah Wajar Dipertimbangkan Untuk Jawatan Timbalan Perdana Menteri
0 Comments

AHAD, 17 APRIL 2022

KUCHING: Sarawak dan Sabah wajar diberikan perjawatan penting dalam pentadbiran negara seperti jawatan Timbalan Perdana Menteri.  

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini adalah kerana kedua-dua negeri ini turut memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik di Malaysia kekal terjaga walaupun berdepan dengan pergolakan politik yang tidak menentu sebelum ini.

“Pada pandangan peribadi saya, patut dipertimbangkan jawatan yang tinggi seperti jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada Sarawak dan Sabah yang diisi secara bergilir-gilir oleh Wakil kedua-dua negeri ini,” tegas beliau setelah selesai merasmikan Program Kasih Belia Ramadan di sebuah hotel terkemuka di sini pada Sabtu.

Dato Sri Abdul Karim berkata demikian ketika mengulas mengenai kepentingan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memiliki wakil dalam pentadbiran Kerajaan Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak  turut memuji keputusan rational Majlis Tertinggi parti UMNO yang menamakan Dato Sri’ Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri sekiranya memenangi PRU-15 kelak.

Tambahnya lagi, hal ini disebabkan seolah-olah dilihat terdapat beberapa pihak yang tidak begitu sehaluan dengan Perdana Menteri kerana beliau bukan Presiden parti tersebut.

Sehubungan itu, Dato Sri Abdul Karim menjelaskan, pendirian tersebut menunjukkan perkembangan yang baik dan beliau berharap tindakan UMNO itu akan terus mengekalkan kestabilan yang mula wujud setelah landskap politik negara tidak menentu selepas PRU-14.

“Ini sedikit sebanyak akan menstabilkan politik Malaysia kerana sekiranya terlalu banyak nama wakil-wakil UMNO yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri, ia mungkin tidak dapat diterima oleh rakyat atas sebab-sebab tertentu,” ujarnya.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *