ADUN Mambong Saksikan Penyerahan Tapak Projek Kerja Awalan Pembinaan Tapak Penjaja Persatuan Braang Kuching

UKAS  > Edisi-Selatan >  ADUN Mambong Saksikan Penyerahan Tapak Projek Kerja Awalan Pembinaan Tapak Penjaja Persatuan Braang Kuching
0 Comments

JUMAAT, 22 APRIL 2022

PADAWAN: Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak Projek Kerja-Kerja Awalan Pembinaan Tapak Penjaja Persatuan Braang Kuching di Kampung Braang Bayur, pada Khamis.

Beliau memberitahu, peruntukan untuk projek itu adalah meliputi kerja awalan sahaja bagi pembinaan tapak pusat penjaja berkenaan.

Jelasnya, tapak yang dicadangkan sebelum ini tidak dapat digunakan susulan daripada lokasinya terletak berdekatan bahu jalan dan projek membina bangunan serta lot gerai penjaja akan memerlukan peruntukan tambahan pada masa yang akan datang.

“Bangunan pusat penjaja ini akan diserah dan akan ditadbir urus oleh Persatuan Braang Kuching dan pengurusan dengan pihak majlis,” katanya.

Sehubungan itu, Datuk Dr. Jerip berharap pihak persatuan membahagikan lot kedai secara adil kepada ahlinya untuk berniaga dan turut menasihati penduduk kampung memberikan kerjasama kepada pihak kontraktor untuk melancarkan pelaksanaan projek tersebut.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kuching, Lau Yik Hung memaklumkan, projek tersebut merupakan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Mambong dengan peruntukan sebanyak RM200,000 dan akan dilaksanakan selama enam bulan iaitu bermula bulan April 2022 hingga Oktober 2022.

Manakala, Presiden Persatuan Bidayuh Braang Kuching, Cliff Mangud berasa gembira atas pembinaan pusat penjaja berkenaan kerana ia adalah yang pertama dibina di kawasan DUN Mambong. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *