Jadikan Al-Quran Panduan Kehidupan Umat Islam Dalam Setiap Aspek Kehidupan – Datuk Amar Awang Tengah

UKAS  > Edisi-Utama, Edisi-Utara >  Jadikan Al-Quran Panduan Kehidupan Umat Islam Dalam Setiap Aspek Kehidupan – Datuk Amar Awang Tengah
0 Comments

RABU, 27 APRIL 2022

LAWAS: Kitab suci al-Quran merupakan kitab agung yang menjadi panduan umat Islam dalam segenap aspek kehidupan. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, beliau berharap umat Islam dapat mempraktikan apa yang diajar dan terkandung dalam al-Quran. 

Katanya, Islam itu ad-din di mana boleh dijadikan sebagai cara hidup dalam mendidik anak-anak sejak dari kecil lagi dengan mempelajari, membaca dan memahami al-Quran. 

“Bukan sahaja bacaan yang baik, alunan suara bacaan al-Quran itu merdu, apa yang penting ialah kita akan dapat memahami apa sebenarnya dalam al-Quran itu. 

“Ia (al-Quran) mengandungi semua aspek kehidupan, ia mengandungi pelbagai hikmah dan ia mengandungi segala kehidupan kita maka kita haruslah dan mengamalkan apa yang terkandung dalam al-Quran,” katanya. 

Beliau berucap dalam Majlis Khatam Al-Quran Tadarus Jarak Jauh Sempena Bulan Ramadan PERKIM Cawangan Lawas dan Majlis Penyampaian Sumbangan Lembaga Amanah Khairat Islam Lawas kepada Pengerusi/Imam/Bilal Masjid dan Surau Daerah Lawas di Masjid Darul Ma’mur, Lawas pada Isnin. 

Ujar Datuk Amar Awang Tengah lagi, kelebihan al-Quran dan juga kelebihan mempelajari al-Quran boleh ditafsirkan dalam ayat 17, surah al-Qamar seperti yang terkandung dalam al-Quran. 

“Kalau kita memahami al-Quran, ianya akan memberi manfaat yang besar. 

“Kerana itulah, Allah S.W.T berfirman dalam ayat 17, surah al-Qamar yang bermaksud ‘Dan, demi sesungguhnya kami telah memudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?,” ujarnya. 

Sementara itu, dalam ucapan aluan Pengerusi PERKIM Cawangan Lawas Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, beliau menzahirkan rasa gembira apabila pada tahun ini semakin yang mengikuti program ini. 

“Sekarang kita mahu mengalakkan penduduk daerah Lawas untuk mengikuti program seperti ini setiap tahun. 

“Kita ada beberapa ustaz dan ustazah yang pergi ke kampung-kampung untuk membimbing dalam pembacaan al-Quran. 

“Saya juga berharap jabatan dan agensi lain mengangkat PERKIM Cawangan Lawas sebagai rakan mereka dalam membangunkan pembangunan Lawas serta pembangunan Ummah,” katanya. 

Turut sama hadir Pemangku Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Awangku Zainal Abidin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Dato Safri Dato Abdillah, Ketua-ketua Jabatan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Ahlli Jawatankuasa PERKIM Cawangan Lawas dan AJK Lembaga Amanah Khairat Lawas. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *