RABU, 27 APRIL 2022

SINGAPURA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengadakan pertemuan bersama Menteri Tenaga Manusia yang juga Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Dr. Tan See Leng pada Rabu.

Pertemuan kira-kira 45 minit itu membincangkan pelbagai perkara yang menjadi kepentingan bersama bagi kerajaan Singapura dan kerajaan Sarawak termasuk kerjasama mengenai tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hijau dan hidrogen.

Turut menemani beliau dalam perbincangan itu ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Bhd, Datu Sharbini Suhaili.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari mengadakan lawatan kerja rasmi ke Singapura pada Selasa setelah menerima jemputan daripada Yayasan Temasek sebagai penceramah pada Dialog Endowmen S. Rajaratnam 2022 (SRED 2022).

Sementara itu, dalam ucaptama, beliau telah menyentuh beberapa isu semasa perdagangan dunia dan serantau serta pelbagai inisiatif baharu kerajaan Sarawak.

Pada masa sama, beliau berkongsi mengenai transformasi ekonomi digital, hidrogen, hijau, pembiayaan alternatif melalui Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Transit Aliran Autonomi (ART) untuk memodenkan pengangkutan awam, Pusat Sains Sarawak dan pertanian komersial. -EDISI UKAS

add comment