Mesyuarat Pra-Persidangan DUN Sarawak Bincang Secara Teliti Agenda Persidangan 17 – 26 Mei

UKAS  > Edisi-Selatan >  Mesyuarat Pra-Persidangan DUN Sarawak Bincang Secara Teliti Agenda Persidangan 17 – 26 Mei
0 Comments

AHAD, 15 MEI 2022

KUCHING: Mesyuarat Pra-Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dipengerusikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah diadakan di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Ahad.

Mesyuarat tersebut membincangkan secara teliti agenda persidangan termasuk usul-usul yang akan dibentangkan pada persidangan DUN Sarawak mulai 17 Mei depan.

Menurut Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Pertama DUN Ke-19 akan diadakan selama lapan hari bermula pada Selasa, 17 Mei 2022 sehingga Khamis, 26 Mei 2022.

Difahamkan, tiada sebarang persidangan akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad (21 hingga 22 Mei 2022).  

Katanya, persidangan kali ini akan dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 17 Mei nanti.

Tambahnya, upacara akan dimulakan dengan Pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan Utama oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Dataran Perbarisan DUN.

Selepas itu, Tun Pehin Sri Abdul Taib akan menyampaikan ucapan dalam Dewan Mesyuarat di Aras 8, Bangunan DUN.

Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia menjelaskan lagi, pada sebelah malam pula, akan diadakan Jamuan Negeri Sempena Perasmian Pembukaan Persidangan DUN kali ini.

Antara pengisian persidangan kali ini termasuk sesi soal jawab, pembentangan usul bagi pemilihan ahli Dewan Negara dan Perbahasan Usul Penghargaan atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Setakat tarikh tutup penerimaan soalan iaitu pada 29 April lepas, sebanyak 347 soalan untuk jawapan lisan dan bertulis telah diterima daripada 41 orang Ahli Dewan Undangan Negeri.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *