Kerajaan Sarawak Laksana Pelbagai Langkah, Ringan Beban Rakyat Terkesan Dengan Pandemik COVID-19

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kerajaan Sarawak Laksana Pelbagai Langkah, Ringan Beban Rakyat Terkesan Dengan Pandemik COVID-19
0 Comments

RABU, 18 MEI 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai langkah untuk meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19 termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan.

Timbalan Menteri di Perdana Jabatan Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Dato’ Gerawat Gala berkata sejak negara dilanda wabak berkenaan, seramai 3,002 rakyat Sarawak telah hilang pekerjaan pada tahun 2020 dan 1,035 orang mengalami nasib yang sama pada tahun 2021.

“Sebagai langkah segera untuk meringankan beban rakyat yang terkesan, termasuk golongan yang kehilangan pekerjaan, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan 8 pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) berjumlah RM5.7 bilion.

“Pakej BKSS ini termasuk pemberian tunai kepada kumpulan B40 bantuan tunai untuk pengusaha kecil dan sederhana dan penangguhan bayaran sewa premis,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Shafiee Ahmad dalam persidangan hari kedua Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Pertama DUN Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Dato’ Gerawat menambah, Kerajaan Sarawak juga telah melaksanakan beberapa program untuk mengurangkan isu pengangguran di negeri ini.

“Antara usaha yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Sarawak untuk mengurangkan isu pengangguran adalah seperti melaksanakan ‘Graduate Enhancement Training Sarawak’ (GETS) untuk graduan di Sarawak.

“Selain itu, Kerajaan Sarawak akan melaksanakan program Industry Workforce Development Programme dengan kerjasama daripada industri bagi memberi latihan dalam industri (Place and Train).

Ujar beliau, pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut mengadakan program seperti Go Rural Area Programme (GRAP) dan Karnival Kerjaya bagi memberi maklumat mengenai peluang pekerjaan.

Katanya lagi, dengan keadaan ekonomi yang kembali pulih selepas COVID-19, semakin banyak industri yang turut giat melaksanakan ‘job fair’ seperti Sarawak Oil Palms Berhad dan Sarawak Petchem Sdn. Bhd.

Sementara itu, Dato’ Gerawat memberitahu, untuk jangka masa panjang, Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi berproduktiviti tinggi, peluang pekerjaan dan perniagaan.

Katanya, Kerajaan Sarawak menjangkakan lebih kurang 200,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi akan diwujudkan menjelang tahun 2030.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *