Majlis Makan Malam ‘16th Divisional Gawai Dayak Celebration’ 2022 Meriah

UKAS  > Edisi-Utara >  Majlis Makan Malam ‘16th Divisional Gawai Dayak Celebration’ 2022 Meriah
0 Comments

ISNIN, 23 MEI 2022

MIRI: Majlis Makan Malam Gawai Dayak peringkat Bahagian Miri pada kali ini mendapat sambutan yang luar biasa.

Ini kerana, dalam tempoh satu minggu sahaja kesemua tiket habis dijual yang merangkumi 125 buah meja dengan kehadiranblebih 1,000 orang tetamu pada majlis itu di Meritz Hotel, pada Sabtu.

Pengerusi Pengelola Perayaan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Miri, Wilfred Mac berkata, jawatankuasa pengelola program telah memulakan pelbagai aktiviti semenjak dua bulan lepas seperti pertandingan karaoke, menderma darah dan juga pertandingan Kumang Iban/Keligit Orang Ulu /Dayung Sangon dan Keling-Belawan.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak, (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Dato Gerawat Gala hadir sebagai tetamu kehormat majlis itu yang mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai ‘Tuai Pengabang’.

Sehubungan itu, Dato’ Gerawat Gala berkata, seiringan dengan tema ‘Segulai Sejalai nuju Pemansang’ sangat tepat dengan hasrat untuk mengerat persaudaraan atau silaturahim di samping memperkukuh perpaduan antara masyarakat yang berbilang etnik, agama dan budaya.  

Katanya, sambutan perayaan Gawai dan penganjuran Gawai oleh pelbagai Pertubuhan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti ini juga mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk memupuk semangat perpaduan antara kaum Dayak dan juga mempromosi budaya dan juga tradisi.

Justeru, bagi menyokong usaha Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADs) dalam penganjuran Gawai Dayak Bahagian Miri kali ini sebanyak RM181,000 telah disumbangkan dari wakil rakyat pada malam tersebut.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan; Dr Ripin Lamat, ADUN Telang Usan; Dennis Ngau, Residen Bahagian Miri; Abdul Aziz Mohamad Yusuf dan Ketua Penasihat Jawatankuasa Pengelola Gawai Dayak Bahagian Miri; Dato Senator Dr. Nuing Jeluing. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *