Keyakinan Terhadap Kepimpinan Politik Sarawak Jadikan Sarawak Terus Jadi Pilihan Pelabur Asing

UKAS  > Edisi-Selatan >  Keyakinan Terhadap Kepimpinan Politik Sarawak Jadikan Sarawak Terus Jadi Pilihan Pelabur Asing
0 Comments

KHAMIS, 26 MEI 2022

KUCHING: Keyakinan pelabur kepada kepimpanan politik Sarawak telah mendorong mereka terus melabur di negeri ini walaupun dalam masa yang sukar ini. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keadaan ini telah menyebabkan sektor perindustrian di negeri ini berjaya walaupun terdapatnya pelbagai halangan yang disebabkan oleh sekatan dan sekatan semasa pandemik COVID-19. 

Misalnya, industri di Sama Jaya dan Samalaju telah mencatat pertumbuhan eksport melebihi RM7 bilion. 

“Sebagai contoh pada 2021, industri berteknologi tinggi di Sama Jaya, menggaji sejumlah 14,600 tenaga kerja dengan jumlah gaji dibayar berjumlah RM684 juta, menjana RM607 juta secara spin-off kepada ekonomi tempatan. 

“Jumlah eksport yang dicatatkan di taman berteknologi tinggi ini untuk 2021 ialah RM7.02 bilion,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.  

Turut mencatat kenaikan eksport ialah ndustri intensif tenaga di Samalaju, Bintulu. 

“Sementara itu, industri intensif tenaga di Samalaju menggaji jumlah tenaga kerja seramai 7,800 pada 2021 dengan jumlah gaji dibayar berjumlah RM425 juta, menjana RM4.6 bilion secara spin-off kepada ekonomi tempatan. 

“Pada 2021, Taman Perindustrian Samalaju merekodkan jumlah eksport RM13.9 bilion,” tambahnya. 

Ujar Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak lagi, dalam situasi mencabar ini Sarawak terus menerima minat daripada pelabur asing yang berminat untuk meneroka peluang pelaburan di Sarawak.

MINTRED telah berjaya mengadakan beberapa pertemuan secara peribadi dengan pelabur berpotensi antaranya projek logam dari Singapura dengan cadangan pelaburan sebanyak USD7.13 bilion pelabur telah mengemukakan permohonan yang diperlukan kepada ICC Negeri dan projek penapisan minyak bersepadu dari China dengan cadangan pelaburan sebanyak USD5.2 bilion pelabur kini sedang menjalankan kajian kesesuaian tapak.

Turut diadakan projek tenaga hijau dari Australia dengan cadangan pelaburan sebanyak USD1.2 bilion pelabur telah menjalankan perbincangan terperinci dengan pihak berkuasa yang berkaitan, projek kimia dari Korea Selatan dengan cadangan pelaburan sebanyak RM709 juta pelabur telah mengemukakan permohonan yang diperlukan dan projek logam asas dari Australia dengan cadangan pelaburan sebanyak AUD300 juta pelabur itu melawat Sarawak baru-baru ini pada awal Mei selepas sempadan antarabangsa dibuka semula untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan lanjut.

Tambah beliau lagi, MINTRED juga banyak persidangan video dengan bakal pelabur yang tidak dapat ke Sarawak untuk cadangan projek pelaburan termasuk komponen untuk bateri EV dari Hong Kong dengan cadangan pelaburan sebanyak USD1.5 bilion dan projek bioperubatan dari Amerika Syarikat dengan cadangan pelaburan sebanyak RM300 juta.  

Perbincangan masih awal tetapi pelabur telah menunjukkan minat yang tinggi untuk melawat Sarawak tidak lama lagi.

Selain itu, MINTRED menerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sarawak (SEDC) juga bekerjasama dengan pelabur asing dalam projek-projek yang dicadangkan seperti projek hidrogen dengan konsortium syarikat dari Korea Selatan dengan cadangan pelaburan sebanyak USD3 bilion, projek hidrogen dengan pelabur Jepun dengan cadangan pelaburan sebanyak USD400 juta dan kilang pembuatan sarung tangan pembedahan dengan pelabur Amerika dengan cadangan pelaburan sebanyak USD192 juta.

Sementara itu, Shell Sarawak dan PTTEP Thailand juga sedang berunding dengan pihak berkuasa untuk mengkomersialkan rizab gas luar pesisir Sarawak dengan cadangan pelaburan sebanyak USD10 bilion.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *