Masyarakat Melayu Diseru Tingkatkan Ilmu, Teroka Cara Baru Jana Ekonomi

UKAS  > Edisi-Selatan >  Masyarakat Melayu Diseru Tingkatkan Ilmu, Teroka Cara Baru Jana Ekonomi
0 Comments

ISNIN, 30 MEI 2022

KUCHING: Masyarakat Melayu diseru agar sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan berlandaskan ajaran Islam agar dapat membantu Kerajaan Sarawak meneroka pendekatan baharu untuk menjana pendapatan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata perubahan dunia hari ini menuntut penggunaan pendekatan baharu untuk mencari sumber ekonomi yang memerlukan kepakaran terutama dalam bidang sains.

Katanya, Sarawak kini beralih kepada cara baharu menjana pendapatan melalui kawalan terhadap ruang udara di atas wilayahnya dan penyimpanan karbon selepas Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022 Tanah diluluskan.

Selain itu jelasnya, Sarawak juga mengkaji potensi lumut dalam penghasilan biofuel.

“Saya telah mengarahkan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) untuk membuat kajian bersama Petronas dan Aviation Research Centre mengkaji pengeluaran biofuel daripada lumut.

“Ini (biofuel) adalah tenaga yang digunakan oleh kapal terbang di masa akan datang.

“Sarawak bertuah kerana lumut boleh ditanam di kawasan pesisir. Kalau ini berjaya kita akan mengeluarkan minyak biofuel,” katanya berucap semasa majlis SamaRindok Aidilfitri 2022 anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak di Kuching pada Isnin.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga telah menubuhkan Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah untuk meneroka potensi kedua-dua produk berkenaan termasuk penghasilan gas metana.

Dedahnya, kajian para saintis mendapati pokok bakau yang tumbuh melata di kawasan pesisir Sarawak berupaya menyimpan karbon tiga kali ganda dari kawasan pokok.

“Alhamdullillah, saya bersama rakan-rakan saya dalam kabinet dapat ilham untuk memperkuatkan ekonomi Sarawak melalui cara-cara baru. Dan kalau cara baru ini, mesti ada ilmu.

“Jadi Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak perlu memain peranan meminta masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama khususnya orang Melayu agar sentiasa menuntut ilmu.

“Kita ada Swinburne yang telah kita ambil alih. Kita ada Curtin, kita ambil alih 100 peratus. Kita ada UTS di Sibu. Kita ada i-Cats yang sudah dinaik taraf sebagai universiti kolej dan kita tingkatkan Centexs sebagai pusat latihan.

“Apa yang perlu, kita isi universiti kita. Kalau pendapatan kita bertambah, kita akan beri sokongan dari sudut biasiswa,” katanya.

Dedahnya lagi, kemasukan pelajar-pelajar dari luar bandar ke UTS Sibu meningkat tiga kali ganda dalam tempoh dua tahun selepas kerajaan memperkenalkan bursari untuk membantu pelajar khususnya golongan B40 tanpa mengira kaum.

Terdahulu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam ucapan aluannya berkata kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Zohari Tun Openg menekankan kepada integriti dan berpaksi kepada keadilan.

Selain itu katanya, kepimpinan dibawa Premier Sarawak akan terus berpaksi kepada kesaksamaan kerana mengambil kira kepentingan semua masyarakat samada suku kaum majoriti mahupun minoriti.

“YAB Premier Sarawak adalah premier untuk seluruh kaum, seluruh negeri kita ini. Ini harus kita pertahan dan harus kita pertingkatkan demi untuk kestabilan keharmonian.

“Disebabkan itu, dalam tempoh kita berdepan dengan pandemik Covid-19 selama dua tahun, YAB Premier telah melancarkan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang dari 1.0 hingga 8.0 melibatkan peruntukan lebih RM5.7 bilion,” katanya.

Jelasnya, Premier Sarawak juga mahu seminar budaya untuk semua kaum di Negeri Sarawak yang diadakan sekali setiap lima tahun diteruskan agar dapat mencari resolusi-resolusi yang menjadi harapan dan hasrat sesuatu kaum.

Dalam majlis sama, turut disampaikan sumbangan daripada Kerajaan Sarawak kepada Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak berjumlah RM15 juta.

Turut hadir isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Nancy Shukri serta dif-dif kehormat yang lain. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *