Penyukatan Tanah NCR Diteruskan, Pacu Pembangunan Sosio-Ekonomi Rakyat

UKAS  > Edisi-Tengah, Edisi-Utama >  Penyukatan Tanah NCR Diteruskan, Pacu Pembangunan Sosio-Ekonomi Rakyat

SELASA, 14 JUN 2022

MATU: Kerajaan Sarawak akan meneruskan usaha penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sebagai langkah memacu pembangunan sosioekonomi rakyat di negeri ini.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, segala pengambilan tanah akan diberi pampasan sewajarnya berdasarkan kadar dan nilai semasa tanah tersebut.

“Demi meneruskan agenda pembangunan dan memberikan kemudahan kepada rakyat Sarawak, kita tidak dapat elak daripada mengambil alih pemilikan tanah penduduk yang terlibat.

“Dalam pada itu, usaha ini memerlukan kerjasama daripada semua penuntut tanah supaya tidak berlaku sebarang pertindihan pemilikan,’’ ujarnya pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (Pertanian) Bagi Kampung Tian, Matu Serta Cek Pampasan Tanah dan Exgratia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng bertempat di Dewan Masyarakat Kampung Tian di sini pada Selasa.

Timbalan Premier Sarawak itu menambah, segala kos penyukatan adalah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana yang besar bagi melaksanakan kerja-kerja pengukuran tanah NCR setelah Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini tidak memberi apa-apa peruntukan untuk tujuan ini,’’ tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus memberi sokongan sepenuhnya kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang agar suara Sarawak akan lebih kuat di peringkat Parlimen, sekaligus meneruskan niat untuk menuntut kembali hak-hak Sarawak yang telah terhakis.

Pada majlis tersebut, seramai 191 penduduk Kampung Tian telah menerima surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri peringkat kedua di bawah inisiatif baharu Hak Tanah Adat Bumiputera (NCR).

Ia melibatkan 217 surat hak milik yang disampaikan oleh Datuk Amar Awang Tengah.

Majlis sama juga menyaksikan pemberian pampasan daripada projek pembinaan Jambatan Igan bernilai RM67,660 kepada enam penerima.

Sementara itu, sebanyak 18 orang turut menerima pampasan sebanyak RM2,589,316.99 bagi projek Kampung Seberang Bawang, Matu.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi; Pemangku Residen Bahagian Mukah, Safrie Saili; Pegawai Daerah Matu, Wan Hipni Wan Mohamad serta Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Awang Zamhari Awang Mahmud. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *