Element 25 Pte Ltd Cadang Labur AUD400 Juta Hasilkan Sulfat Mangan Ketulenan Tinggi Di Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Element 25 Pte Ltd Cadang Labur AUD400 Juta Hasilkan Sulfat Mangan Ketulenan Tinggi Di Sarawak
0 Comments

KHAMIS, 30 JUN 2022

PERTH: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai delegasi Sarawak dalam mesyuarat meja bulat dengan Element 25 Pte Ltd di sini, pada Rabu. 

Dalam mesyuarat dua jam itu, Datuk Amar Awang Tengah dan rombongan telah diberikan taklimat mengenai cadangan Elemen 25 untuk melabur kira-kira AUD300 hingga 400 juta bagi menghasilkan Sulfat Mangan Ketulenan Tinggi (HPMSM) sebagai bahan api EV untuk loji bateri lithium-ion di Sarawak.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Sarawak sentiasa mengekalkan pelaburan yang menarik.

“Sarawak memilih aktiviti pembuatan ini kerana ia selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 yang bertujuan untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, di mana kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar dinikmati oleh semua.

“Ketika ini dunia sedang bergerak ke arah penyahkarbonan, penggunaan teknologi yang lebih mesra alam termasuk bateri litium-ion untuk kenderaan elektrik semakin popular,” katanya.

Beliau menambah, perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang berterusan dan perang Rusia-Ukraine baru-baru ini, menjadikan Sarawak lokasi strategik untuk pelaburan.

Antara yang hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Pengarah Urusan Elemen 25 Justin Brown, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Datu Abdullah Zaidel, Pemangku Setiausaha Tetap Sarawak Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Dzulkornain Masron, Penasihat MINTRED Datuk Naroden Majais dan Pegawai Khas MINTRED Datu Liaw Soon Eng.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *