Sibu Jaya Pesat Membangun Sebagai Bandar Satelit

UKAS  > Edisi-Tengah >  Sibu Jaya Pesat Membangun Sebagai Bandar Satelit
0 Comments

JUMAAT, 1 JULAI 2022

SIBU: Kawasan Sibu Jaya sedang membangun dari pekan kecil menjadi bandar satelit di Sibu yang indah dan lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, transformasi pesat dialami Sibu Jaya hasil kerjasama erat Kerajaan Sarawak dan pihak pemaju yang diketuai Tan Sri Azman Hashim.

Katanya, Sibu Jaya bukan sahaja dilengkapi dengan kemudahan yang terkini malah kompleks sukan baru, Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibu Jaya yang disumbangkan oleh Yayasan Azman Hashim.

“Sibu Jaya adalah satu kawasan pekan ataupun bandar yang sedang membangun.

“Dan saya mengucapkan terima kasih kepada pihak developer (pemaju) yang diketuai oleh Tan Sri Azman yang telah dapat membuka kawasan ini dan bersama-sama dengan Kerajaan Sarawak telah menjadikan ‘satellite town of Sibu’ yang begitu cantik sekali.”

Premier Sarawak berucap demikian semasa merasmikan pembukaan Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim dan Sukan Olimpik Khas Sarawak Ke-6 di Sibu Jaya pada Jumaat.

Jelas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, Sibu Jaya menjadi model pembangunan bandar kerana pelan pembangunan yang tersusun dan berbeza dari bandar lain.

Tambahnya, perjalanan dari Lapangan Terbang Sibu ke bandar Sibu juga akan menjadi lebih singkat apabila jalan boulevard di Sibu Jaya dinaiktaraf kepada jalan raya kembar dan disambung kepada Jalan Kong Yit Khim yang menuju ke pusat bandar.

Sementara itu, Premier Sarawak berkata kerajaan sedang merangka pendekatan baru untuk mengatasi masalah banjir di Sibu.

Katanya, jika perkara ini dapat diatasi, Sibu akan berubah menjadi seperti bandaraya Amsterdam di Belanda.

“Kita mempunyai pendekatan baru untuk mengatasi masalah banjir ini. Saya yakin kita boleh melaksanakannya untuk membangunkan Sibu.

“Dan kalau ini berlaku, berjalan dengan baik, mungkin Sibu macam Amsterdam dengan terusannya,” kata Premier Sarawak lagi.

Terdahulu, Pengerusi Eksekutif Amcorp Group Berhad, Tan Sri Azman Hashim dalam ucapan aluannya berkata Kumpulan Amcorp mula membangunkan Sibu Jaya, 27 tahun lepas bermula pada 1995.

Katanya, sehingga kini, terdapat lebih daripada 6,000 rumah dibina dan diduduki serta lebih kurang 300 rumah kedai komersil beroperasi untuk memberi kemudahan dan perkhidmatan bukan sahaja untuk penduduk Sibu Jaya tetapi juga kepada mereka yang jauh dari kawasan pedalaman seperti Kapit, Kanowit, Selangau, Durin dan sebagainya.

“Sepanjang tahun, sokongan daripada Kerajaan Negeri Sarawak sentiasa datang dengan begitu banyak kemudahan seperti sekolah, ibu pejabat polis, hospital, bomba, perpustakaan awam, masjid dan banyak jalan dan lebuh raya baru dibina untuk kepentingan Sibu Jaya yang mempunyai penduduk lebih kurang 30,000 orang hari ini dan terus berkembang,” katanya.

Hadir sama isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Duta Khas Perdana Menteri ke Republik China Dato Sri Tiong King Sing, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif-dif kenamaan yang lain. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *