Kerjasama Erat Ahli SUPP Kekalkan Keharmonian Parti Dan Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kerjasama Erat Ahli SUPP Kekalkan Keharmonian Parti Dan Sarawak
0 Comments

ISNIN, 4 JULAI 2022

ENGKILILI: Tidak dinafikan bahawa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) merupakan salah satu parti yang menyumbang kepada kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.

Menurut Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden SUPP, Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian, ahli-ahli SUPP sentiasa bersatu hati dan memberi kerjasama yang baik dalam apa jua perkara bagi mengekalkan keharmonian parti dan Sarawak secara amnya.

Ujarnya, kemenangan itu telah memperlihatkan tujuh muka baru dari SUPP yang menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pusat Khidmat SUPP Cawangan Engkilili dan Upacara Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa (AJK) SUPP Engkilili Bagi Sesi 2022-2024 pada Isnin.

Dato Sri Dr. Sim mengulas lanjut, penganjuran majlis seumpama itu juga salah satu contoh komitmen yang baik ditunjukkan oleh ahli-ahli SUPP.

Jelasnya, meskipun diadakan pada hari bekerja, namun ia dilaksanakan dengan jayanya dan mendapat kehadiran yang amat memuaskan.

Justeru, beliau berharap agar kerusi DUN Engkilili dapat ditawan oleh partinya pada PRN akan datang iaitu pada tahun 2026 nanti.

Dalam masa sama, Dato Sri Dr. Sim turut mengharapkan agar ahli SUPP terus bergabung tenaga bagi memastikan GPS terus menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 demi kelangsungan pembangunan yang berterusan.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Pengelola Jawatankuasa Pusat SUPP, Datuk Mathew Chen Tin Kong, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Teng Ung Woo, Ahli Jawatankuasa SUPP Pusat, Lim Ah Ted, Pengerusi SUPP Saratok, Phang Puk Kong, Pengerusi SUPP Cawangan Engkilili, Kua Jack Seng, Kompenan Parti GPS dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Kecil Engkilili.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *