Petronas SSGP Anjur Majlis Ngiling Bidai Daerah Telang Usan

UKAS  > Edisi-Utara >  Petronas SSGP Anjur Majlis Ngiling Bidai Daerah Telang Usan
0 Comments

ISNIN, 4 JULAI 2022

TELANG USAN: Petronas Sabah Sarawak Gas Pipeline (SSGP) bermurah hati menganjurkan Majlis Ngiling Bidai sebagai tanda penutupan perayaan Gawai Dayak 2022 di Dewan SJK (C) Kee Tee Long Lama di sini pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Petronas SSGP kerana sentiasa prihatin dan menjalinkan hubungan erat bersama masyarakat setempat dan juga agensi kerajaan.

Di samping itu, beliau turut menyuarakan permohonan pembinaan sebuah dewan serbaguna sekiranya pihak SSGP tidak keberatan untuk membantu. 

Menurutnya, semenjak Dewan Masyarakat Long Lama digunakan sebagai Klinik Sementara hampir 3 tahun, penduduk khususnya golongan belia tiada tempat untuk menjalankan aktiviti sukan dan sosial yang selesa.

Majlis yang dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Telang Usan itu telah menarik kehadiran sekitar 500 penduduk yang datang dari kawasan berdekatan dan diserikan dengan berbagai acara menarik, antaranya adalah pertandingan gerai tercantik dan gerai terlaris. 

Setiap gerai ini juga menyediakan berbagai-bagai juadah gabungan tradisional dan moden yang menonjolkan konsep dan budaya makanan Orang Ulu atau Dayak seperti pansuh ayam dan ikan serta umai.

Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Miri Baru Tai, Pemangku Pegawai Daerah Telang Usan Ping Anyi dan Pengurus Sokongan Operasi Petronas SSGP Mohamad Shamad Ahmad. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *