Raja Permaisuri Agong Berkenan Sempurnakan Majlis Santapan ‘International Night Dinner’

UKAS  > Edisi-Utama >  Raja Permaisuri Agong Berkenan Sempurnakan Majlis Santapan ‘International Night Dinner’

SELASA, 5 JULAI 2022

KUCHING: Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyempurnakan Majlis Santapan ‘International Night Dinner’ di Hotel Grand Margherita di sini pada Selasa. 

Majlis makan malam itu diadakan bersempena dengan bersempena dengan Persidangan Ke-13 Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW) Kawasan Asia Tenggara Dan Timur Jauh yang diadakan pada sebelah pagi Selasa. 

Antara yang turut hadir ialah Penaung Institut Persekutuan Wanita Sarawak (SFWI), Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib; isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Toh Puan Datin Patinggi Hayati Ahmat; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak, dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Dr. Sabariah Putit serta Pengerusi SFWI, Dato Norhyati Ismail. 

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah dalam ucapan aluan beliau menjujung kasih atas kehadiran Raja Permaisuri Agong ke Persidangan ACWW kali ini yang dilihat menekankan lagi kepentingan aspek kepelbagaian ke arah mewujudkan masyarakat yang harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain. 

“Sarawak telah menggambarkan kepelbagaian ini dengan cara terbaik sama ada dari segi sejarah, sosiobudaya, geografi, bahasa, suasana politik, mahupun ekonomi.  

“Selain mempunyai pucuk pimpinan yang berkualiti, berwawasan serta pragmatik, Sarawak turut diberkati dengan masyarakat yang paham bahawa kelangsungan hidup pada masa kini amat bergantung kepada kepelbagaian yang sedia ada di sini,” tegas beliau. 

Sementara itu, Dato Sri Fatimah memberitahu, Sarawak kini menerajui agenda melestarikan alam sekitar melalui Blueprint Sarawak Lestari yang diumumkan oleh Premier Sarawak pada 29 Mac lepas. 

“Blueprint tersebut akan bantu dalam mencapai matlamat kelestarian alam sekitar, menangani isu berkenaan pemuliharaan biodiversiti, pengurusan sumber asli serta mitigasi fenomena perubahan iklim di samping memacu kewujudan persekitaran yang diperkasakan dengan teknologi moden selaras dengan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) negara,” ujarnya lagi. 

Majlis makan malam tersebut antara lain turut diserikan dengan persembahan nyanyian serta tarian-tarian yang mempamerkan budaya pelbagai etnik di Sarawak. 

Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyampaikan cenderamata kepada mantan Presiden Sedunia ACWW, Dato Ursula Goh atas sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan bersama dengan persatuan tersebut. -Edisi UKAS 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *