Premier Sarawak Lawat Taman Bishan Ang Mo Kio Di Singapura, Pelajari Landskap Bandar, Konsep Pengurusan Air

UKAS  > Edisi-Utama >  Premier Sarawak Lawat Taman Bishan Ang Mo Kio Di Singapura, Pelajari Landskap Bandar, Konsep Pengurusan Air
0 Comments

JUMAAT, 8 JULAI 2022

SINGAPURA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan rombongan melakukan lawatan ke Taman Bishan Ang Mo Kio di Singapura, pada Jumaat.

Dalam sesi lawatan selama sejam anjuran pihak Pengurusan Taman Negara Singapura di taman berkeluasan 62 hektar itu, Premier Sarawak dan rombongan diberikan penerangan tentang kepentingan menggabungkan pembangunan landskap taman dan bandar dengan pengurusan air dan langkah intervensi banjir bagi mewujudkan persekitaran berdaya tahan terhadap banjir di kawasan bandar.

Selepas itu, Premier Sarawak dan rombongan turut diberikan taklimat berkaitan reka bentuk dan konsep taman sekaligus menunjukkan projek intervensi banjir yang telah berjaya di seluruh dunia.

Taklimat itu juga menyentuh mengenai pembangunan semula kawasan Bukit Assek berkeluasan 200 hektar di Sibu bagi mengikuti konsep sama yang bakal membantu pembangunan komuniti setempat.

Turut mengiringi Premier Sarawak dalam lawatan tersebut, Timbalan Premier, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dr Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Mee Ting, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting Ing Horh.

Kemudian, pada sebelah malam, Premier Sarawak menghadiri taklimat mengenai pelan induk pembangunan terminal perindustrian di Sarawak oleh sebuah syarikat perunding infrastruktur dan perancangan bandar milik kerajaan Singapura.

Turut hadir pada taklimat itu ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *