Datuk Sharifah Hasidah Sempurnakan Pengagihan Daging Korban Di DUN Samariang

UKAS  > Edisi-Selatan >  Datuk Sharifah Hasidah Sempurnakan Pengagihan Daging Korban Di DUN Samariang
0 Comments

ISNIN, 11 JULAI 2022

KUCHING: Masyarakat dari sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang mengukir senyuman setelah menerima sumbangan bersempena dengan Majlis Pengagihan Daging Korban Tahun 2022M/1443H.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali hadir merasmikan program tersebut di  Pusat Khidmat DUN Samariang di sini pada Isnin.

Beliau berkata, setelah dua tahun negeri menghadapi pandemik COVID-19, akhirnya masyarakat khususnya warga DUN Samariang dapat bersama-sama meraikan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.

Dalam pada itu, Datuk Sharifah Hasidah mengucapkan tahniah kepada semua Pergerakan Cawangan Samariang kerana mempunyai kekuatan hati dan inisiatif untuk mengadakan majlis korban seumpamanya secara besar-besaran.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang menegaskan, kerajaan Sarawak akan terus komited dalam memberi sokongan kepada masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama.

“Kerajaan kita di negeri ini merupakan satu kerajaan yang begitu adil kerana meletakkan perpaduan seluruh kaum sebagai satu agenda utama yang diperjuangkan.

“Di sini, kita tidak pernah melupakan isu-isu keagamaan. Sebab itu kerajaan negeri menubuhkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) agar dapat membantu institusi agama lain secara lebih menyeluruh, dan ini menunjukkan komitmen puncuk pimpinan tertinggi Sarawak,” jelasnya lagi. –Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *