Sarawak Komited Tingkat Pengeluaran Makanan, Tangani Isu Keselamatan Makanan

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Sarawak Komited Tingkat Pengeluaran Makanan, Tangani Isu Keselamatan Makanan
0 Comments

RABU, 13 JULAI 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited untuk meningkatkan penghasilan pengeluaran makanan bagi menangani isu keselamatan makanan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendedahkan populasi dunia mengalami peningkatan pada tahun ini.

Justeru katanya, ia adalah peluang untuk meningkatkan pengeluaran makanan bagi memenuhi keperluan dunia.

“PBB baru mendedahkan bahawa penduduk dunia adalah seramai 8 bilion pada tahun ini dan dengan jumlah penduduk itu mereka memerlukan makanan.

“Ia adalah satu lagi peluang di mana kita boleh menghasilkan pengeluaran makanan kita demi memenuhi keperluan dunia dengan pertambahan penduduk,” katanya dalam Majlis Makan Malam Bersama Delegasi Persekutuan Perniagaan Singapura dan Perusahaan Singapura di sebuah hotel terkemuka di sini pada Selasa.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari juga memberitahu, kerajaan Sarawak mempunyai dasar untuk menubuhkan taman agro iaitu seperti taman perindustrian untuk para pelabur dari Singapura mengusahakan tanaman mereka di negeri ini.

Sementara itu, Premier Sarawak turut memaklumkan bahawa Sarawak telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) semasa lawatan beliau ke Singapura pada baru-baru ini bagi membawa teknologi moden dalam pertanian ke negeri ini.

“Kami telah menandatangani MoU antara Lembaga Pembangunan Tanah Sarawak dan Sky Urban Solution Holding PTE LTD untuk membawa teknologi moden dalam pertanian dan Alternative Selection PTE. LTD dengan Satoyama Farm And Construction Sdn Bhd,” jelasnya.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Sarawak, Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur yang juga Menteri Luar Negeri Singapura Shivakumar Nair, Ketua Pegawai Eksekutif STATOS Chew Chang Guan, Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak, Datuk Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak, Datuk Philip Ting Ing Ding, Ketua Pegawai Eksekutif United Overseas Bank (Malaysia) Berhad, Ng Wei Wei serta Pengarah Persekutuan Perniagaan Singapura Asia Tenggara dan Pasifik, Tan Sock Joo.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *