Kerajaan Komited Promosikan Sektor Warisan Budaya

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kerajaan Komited Promosikan Sektor Warisan Budaya
0 Comments

KHAMIS, 28 JULAI 2022

KUCHING: Kerajaan Malaysia komited untuk mempromosikan sektor warisan budaya sebagai enjin pertumbuhan ekonomi dan kebanggaan serantau, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri.

Menurutnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sebagai peneraju diplomasi kebudayaan akan terus memartabatkan seni, budaya dan warisan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Sebagai contoh, pada tahun 2021, MOTAC dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berjaya melancarkan Mercu Tanda Mini Bawah Air ASEAN (AUMiL) yang pertama dan akan terus dibangunkan sebagai produk pelancongan budaya yang mampan,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Ke-23 Jawatankuasa Kecil ASEAN-COCI mengenai Kebudayaan (SCC) dan Mesyuarat Ke-11 Jaringan Kerjasama Kebudayaan ASEAN Ditambah Tiga (APTCCN) di sebuah hotel terkemuka di sini pada Khamis.

Sementara itu ujarnya, selain menggalakkan usaha memulihara dan memelihara warisan budaya bawah air, AUMiL juga akan memupuk penghargaan budaya yang lebih tinggi di kalangan rakyat ASEAN.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Batang Sadong itu memberitahu, Malaysia telah dipilih sebagai ahli Jawatankuasa Antara Kerajaan UNESCO untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara bagi penggal 2022 hingga 2026.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha MOTAC , Datuk Saraya Arbi, Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC, Dr. Tan Awang Besar, Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa Kebudayaan MOTAC, Dr. Christina Yeo serta wakil-wakil dari Sekretariat ASEAN. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *