Willie Mongin sah sertai PBB

UKAS  > Edisi-Selatan >  Willie Mongin sah sertai PBB
0 Comments

AHAD, 7 OGOS 2022

KUCHING: Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin sah diterima sebagai ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Demikian jelas Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang mengesahkan perkara tersebut.

“Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah menerima permohonan Willie untuk menjadi ahli PBB tanpa sebarang komitmen.

“Penerimaan Willie tanpa syarat. Beliau (Willie) menjadi ahli PBB kerana menyokong PBB, ia suatu perkara yang bagus,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Ibu Pejabat PBB di sini pada Sabtu.

Willie yang memenangi kerusi parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan telah menghantar permohonan untuk menyertai PBB beberapa bulan yang lepas dan mendakwa selama ini diletakkan dalam parti Bersatu ‘secara teknikal’ bagi menyokong kerajaan semasa.

Beliau bagaimanapun diketepikan oleh PKR selepas menyertai beberapa Ahli Parlimen parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan semasa peristiwa ‘Langkah Sheraton’ sebelum menyertai Bersatu.

Mengenai permohonan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang pula, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata perkara itu terpulang kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS).

“Ini saya serahkan kepada PRS untuk membuat keputusan kerana Jugah tidak memohon menyertai PBB, beliau mohon sertai PRS,” ujarnya.

Pada Februari lalu, Jugah yang meninggalkan PRS bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2018 sebagai calon bebas ingin berpatah balik kepada PRS.

Perkara itu disahkan Ketua Pemuda PRS, Datuk Snowdan Lawan namun penyertaan semula Jugah belum diluluskan.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *