JHS Serah Projek Perhutanan Sosial Kepada Penduduk Rumah Manggat Meringgai

UKAS  > Edisi-Selatan >  JHS Serah Projek Perhutanan Sosial Kepada Penduduk Rumah Manggat Meringgai
0 Comments

RABU, 10 OGOS 2022

LUBOK ANTU: Penduduk Rumah Manggat Meringgai menerima beberapa projek perhutanan sosial yang dilaksanakan oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) pada Isnin.

Pengarah JHS Datu Hamden Mohammad berkata, projek ini merupakan projek yang berimpak tinggi untuk pembangunan penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar.

“JHS akan terus membantu penduduk-penduduk luar bandar terutama yang tinggal di Kawasan Hutan Simpan Kekal untuk terus melaksanakan serta menyelanggara projek-projek perhutanan sosial untuk kemudahan mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap bagi mewakili Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datu Len Talif Salleh dalam majlis Penyerahan projek-projek perhutanan sosial di Rumah Manggat Meringgai.

Dalam majlis ini beliau telah menyerahkan pelbagai projek perhutanan sosial yang berimpak tinggi bagi pembangunan penduduk luar bandar perlaksanaan Jabatan tersebut kepada penduduk Rumah Manggat.

Projek-projek perhutanan sosial yang  terlibat adalah seperti Tinjauan dan survei komuniti untuk Karnival Produk Hutan Bukan Kayu (NTFP); Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA); Kursus pertukangan kayu & elektrik di Rumah Manggat; Pembinaan dan mini bekalan air paip graviti di Rumah Manggat; Penyelenggaraan rumah panjang di Rumah Manggat; dan Projek pembinaan jeti dan Floating Pontoon di Kawasan Pemulihan Ulu Sungai Menyang.

Dalam majlis itu juga, Datu Hamden turut merasmikan Sistem Tagang yang dilaksanakan oleh JHS hasil kerjasama mereka dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) serta beberapa lagi projek kepada di rumah panjang berkenaan seperti Sistem Tagang – P17; bekalan air bersih melalui pembinaan sistem paip graviti; baik pulih rumah panjang iaitu tangga, Dinding ruai dan lantai serta Lantai tanju; 500 anak benih bemban dan kemudahan inapdesa seperti bilik tidur dan bilik air.

Selain itu, Datu Hamden turut dibawa melawat ke beberapa sangkar dan lokasi pelaksanaan sistem tagang bagi melihat sendiri anak-anak ikan sebelum dilepaskan ke dalam sangkar-sangkar penternakan ikan yang disediakan.

Hadir sama ke majlis ini ialah Ketua Bahagian Perhutanan Sosial JHS Azahari Omar, pegawai kanan JHS yang lain, Penghulu Kelinsing Mandau,  wakil Sarawak Forestry Corporation Abang Mulatib serta wakil-wakil daripada beberapa agensi kerajaan dan swasta.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *