ADUN Batu Lintang Umum Keluar PSB

UKAS  > Edisi-Selatan >  ADUN Batu Lintang Umum Keluar PSB
0 Comments

AHAD, 14 OGOS 2022

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How mengumumkan keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkuatkuasa pada Jumaat.

Perkara tersebut telah disahkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dalam sidang media khas di DUN Sarawak, pada Ahad.

“Pada hari Jumaat, 12 Ogos 2022 saya menerima sepucuk surat daripada ADUN Batu Lintang, See Chee How, menyatakan beliau telah meletak jawatan sebagai ahli PSB berkuat kuasa serta merta.

“Dengan peletakan jawatan beliau sebagai ahli PSB maka kedudukan keahlian parti-parti di DUN sarawak adalah seperti berikut; GPS 76 kerusi, PSB tiga kerusi, DAP dua kerusi, Bebas satu kerusi,”ujar beliau.

Tambah Tan Sri Mohamad Asfia, pihaknya akan mengambil tindakan menyusun semula kedudukan barisan pembangkang dimana ahli bebas itu tidak akan duduk bersama pembangkang.

Jelas beliau, See Chee How bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang alasan tindakannya keluar parti.

Beliau turut menegaskan ADUN Batu Lintang itu akan meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat Bebas.

Dalam perkembangan berkaitan, Tan Sri Mohamad Asfia memberitahu, Persidangan DUN Sarawak seterusnya akan diadakan pada November kelak selepas selesai pembentangan Belanjawan Malaysia.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *