Program uKasih Negeri Sarawak Bantu Meningkatkan Pendapatan Isi Rumah

UKAS  > Edisi-Selatan >  Program uKasih Negeri Sarawak Bantu Meningkatkan Pendapatan Isi Rumah
0 Comments

RABU, 17 OGOS 2022

KUCHING: Program Kesejahteraan dan Peningkatan Ekonomi Isi Rumah eKasih (uKasih) Negeri Sarawak membantu meningkatkan pendapatan golongan miskin di Malaysia dan meningkatkan kompetensi isi rumah eKasih bagi memperbaiki taraf kehidupan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki, program ini merupakan program yang sangat murni kerana ia bertujuan untuk membantu mengubah pemikiran isi rumah untuk keluar dari kemiskinan. 

“Program seperti ini membantu mereka untuk meningkatkan pendapatan lebih-lebih lagi semasa kita dalam cabaran menghadapi penularan wabak COVID-19. 

“Ketika penularan COVID-19 semua usahawan besar dan kecil terkesan, ada daripada mereka terpaksa gulung tikar dan program ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka berniaga semula untuk meneruskan kehidupan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan uKasih Program Kesejahteraan dan Peningkatan Ekonomi Bagi Isi Rumah Ekasih Negeri Sarawak di Kompleks Sukan Satok, Padang SLPAS pada Rabu. 

Jelasnya, Program ini adalah sangat istimewa sekali kerana ianya dapat membantu mengubah pemikiran isi rumah miskin untuk keluar dari lingkungan kemiskinan.

Selain itu katanya, ia meningkatkan penglibatan masyarakat sivil di dalam program-program kesejahteraan rakyat dan menggalakkan kerjasama awam-swasta dalam program CSR. 

Justeru beliau berharap agar semua penerima memanfaatkan segala bantuan yang telah diberi agar menjadi usahawan yang berjaya kelak. 

Program ini merupakan inisiatif di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad. 

Turut hadir, Timbalan Ketua Cawangan Satok Hilmy Othman, Pengarah Wilayah Malaysia Timur Bank Islam Malaysia Berhad Abd Malek Abdullah dan Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Kesejahteraan Rakyat, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Hajiawati Tambi. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *