Premier Sarawak Sempurnakan Majlis Sambutan Hari Guru Ke-51 Peringkat Sarawak 2022

UKAS  > Edisi-Utara >  Premier Sarawak Sempurnakan Majlis Sambutan Hari Guru Ke-51 Peringkat Sarawak 2022
0 Comments

KHAMIS, 18 OGOS 2022

LIMBANG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Guru Ke-51 Peringkat Sarawak 2022 bertemakan ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’ bertempat di Dewan Suarah Limbang pada Khamis.

Semasa berucap, beliau menyeru agar para guru terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan berintegriti tanpa mengira asal dan keturunan, pegangan agama atau ideologi termasuk fahaman politik.

Ini kerana jelasnya, negara menaruh harapan yang tinggi kepada golongan pendidik yang bergelar guru dalam mendidik anak bangsa.

“Sejajar dengan program transformasi yang sedang giat diusahakan di peringkat kebangsaan dan di peringkat negeri, bagi saya, peranan guru sangat penting untuk memastikan generasi yang dibentuk daripada sistem pendidikan kita.

“Anak didik kita ini perlu menjadi modal insan yang seimbang dalam semua aspek iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan,” ucapnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa guru perlu sentiasa bersedia menerima segala perubahan dan berupaya menjadi pemudah cara yang berkesan bagi memperkembang minat, bakat, kebolehan serta keupayaan murid membina daya fikir yang kritis dan kreatif.

“Sebagai ketua pemimpin negeri ini, saya sedar bahawa peranan utama kerajaan Sarawak ialah memberi sokongan kepada agenda pendidikan kebangsaan. Yang kurang kita tambah, yang perlu kita wujudkan, yang sudah ada kita rekayasa.

“Semuanya dengan tujuan untuk berdiri sama tinggi dengan agenda pendidikan di peringkat kebangsaan demi kepentingan anak Sarawak,” jelas beliau.

Majlis yang disambut dengan meriah itu telah menyaksikan penyempurnaan simbolik sambutan hari guru oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari bersama barisan kenamaan dengan penglibatan murid-murid sekolah dan warga pendidik dari segi persembahan, sesi pemotongan kek hari guru, lafaz ikrar guru dan diakhiri dengan nyanyian lagu keramat “Guru Malaysia” dan lagu “Pendidik Bumi Kenyalang”.

Hadir sama isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang serta Pengarah Pendidikan Sarawak Datu Dr. Azhar Ahmad.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *