Kampung Darul Falah Destinasi Ke-10 Jelajah Maal Hijrah 2022

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kampung Darul Falah Destinasi Ke-10 Jelajah Maal Hijrah 2022
0 Comments

SABTU, 20 OGOS 2022

TEBEDU: Siri Jelajah Maal Hijrah 2022 anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) kali ini diteruskan di Kampung Darul Falah yang merupakan destinasi ke-10 pelaksanaannya.

Jelajah ini telah bermula dari Limbang dan akan berakhir di Simunjan pada Ahad ini.

Pelbagai aktiviti telah diadakan pada Jumaat, antaranya konvoi Jelajah Mutiara Hijrah yang melibatkan seramai 50 peserta dari seluruh Sarawak yang mana pelepasannya disempurnakan oleh Residen Bahagian Serian, Selamat Yanjah.

Selain itu turut diadakan acara gotong royong, mengecat bangunan masjid, sukaneka, acara menyumpit dan memanah, pemasangan kipas oleh pihak Giatmara Serian secara percuma, pameran dan taklimat oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Serian serta pembukaan kaunter akaun oleh Bank Tabung Haji.

Objektif program adalah untuk menyemarakkan semangat sambutan Maal Hijrah di samping mengeratkan lagi mahabah dan ukuwah sesama agensi dan penduduk kampung.

Dalam masa sama, pihak JAIS telah menyampaikan sumbangan barangan asas seperti gula, kopi, teh dan satu kampit beras beserta wang tunai berjumlah RM200 seorang kepada 40 peserta terpilih dari Kampung Darul Falah, Kampung Darul Huda dan Kampung Insan Jaya.

Turut hadir menjayakan program tersebut ialah Timbalan Pengarah 1 JAIS Ustaz Sukarno Saini, Timbalan Pengarah 2 JAIS Ustaz Abang Borhannudin Abang Ahmad Masuime, Pegawai Agama Islam Bahagian Serian Ustaz Morsidi July, Ketua Bahagian Dakwah JAIS Ustaz Khalifah Juli dan Ketua Kaum Kampung Darul Falah, Rabuni Majeni. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *