SPRM Tiada Terima Aduan Libatkan Rasuah, Penyalahgunaan Kuasa Babitkan Institusi Agama Lain Di Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan >  SPRM Tiada Terima Aduan Libatkan Rasuah, Penyalahgunaan Kuasa Babitkan Institusi Agama Lain Di Sarawak
0 Comments

JUMAAT, 19 OGOS 2022

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak tiada menerima apa-apa tohmahan atau aduan melibatkan rasuah, penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan membabitkan institusi-institusi agama lain di negeri ini.

Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan berkata, situasi ini memberi gambaran positif serta meningkatkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat umum terhadap kepimpinan institusi agama-agama lain.

Bagaimanapun tegasnya, institusi agama-agama lain di Sarawak tidak boleh mengambil mudah dengan reputasi baik yang terbina selama ini kerana pada masa depan mungkin akan menjadi lebih mencabar.

“Justeru, saya menyeru semua ketua agama mengambil langkah-langkah pengawasan berterusan terhadap pengurusan dana dan sumber awam dalam institusi agama secara rapi.

“Ini bagi memastikan dana dan sumber tersebut digunakan tepat untuk objektif yang ditetapkan di samping mematuhi tatacara kewangan dan undang-undang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Bicara Integriti Bersama Ketua-Ketua Agama Lain di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Richard Lon, Ketua-ketua Agama Kristian, Buddhist, Tao, Sikh, Hindu dan Bahai.

Dalam pada itu, Mohd Zaki menasihatkan supaya semua ketua agama memastikan semua ahli jawatankuasa dalam institusi agama masing-masing sentiasa beramanah, berintegriti, akauntabiliti serta bertanggungjawab dalam mengendali dana dan sumber kewangan.

Katanya, peranan pihak institusi agama amat signifikan dalam membentuk dan memupuk komuniti masyarakat yang membenci amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

Sementara itu, dalam ucapan penutupannya, Richard memberitahu, program seupamanya julung kali dianjurkan bersama pihak SPRM dan menjadi rakan strategik dalam pembanterasan penyalahgunaan dan penyelewengan dana yang disalurkan. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *