Sektor Minyak & Gas Merupakan Salah Satu Daripada 10 Industri Keutamaan Dalam SCORE & PCDS 2030

UKAS  > Edisi-Utama, Edisi-Utara >  Sektor Minyak & Gas Merupakan Salah Satu Daripada 10 Industri Keutamaan Dalam SCORE & PCDS 2030
0 Comments

ISNIN, 22 OGOS 2022

BINTULU: Menjelang 2030, Sarawak akan menjadi masyarakat yang berkembang maju didorong oleh data dan inovasi di mana semua orang menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran yang mampan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, untuk itu keperluan untuk Sarawak menggandakan saiz ekonominya daripada RM136 bilion kepada RM282 bilion pada tahun 2030.

Ujar beliau lagi, bagi mencapai matlamat ini, ekonomi Sarawak perlu berkembang secara purata pada 8 peratus setahun sehingga 2030.

“Bagi mengembangkan ekonomi kita, salah satu inisiatif strategik ialah penekanan kepada pembangunan hiliran dalam sektor minyak dan gas. 

“Di sini, saya ingin menekankan fakta bahawa sektor minyak dan gas dikenal pasti sebagai salah satu daripada 10 industri keutamaan dalam SCORE, dan juga di bawah PCDS 2030,” katanya. 

Beliau berucap ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Bintulu Additional Gas Sales Facility 2 (BAGSF-2) di Tanjung Kidurong, Bintulu di sini pada Isnin. 

Jelas beliau lagi, permulaan SCORE terbukti bahawa Sarawak mempunyai keupayaan untuk menceburi industri minyak dan gas hingga menjadikan ekonomi Sarawak kekal teguh menjadi yang ketiga terbesar di negara ini selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, Sarawak mengiktiraf sumbangan industri minyak dan gas kepada pertumbuhan ekonominya.

Beliau yakin BAGSF-2 akan menambah nilai kepada perniagaan hiliran Sarawak dengan merealisasikan operasi Sarawak Petchem sebagai enjin pertumbuhan ekonomi utama bagi Sarawak dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Kita menyaksikan BAGSF-2 sebagai pemboleh untuk Bintulu menjadi satu lagi hab petro-kimia di Malaysia. 

“Saya amat percaya bahawa akan ada lebih banyak kerjasama sebegitu dengan PETRONAS bagi menyokong aspirasi Sarawak untuk menjadi sebuah Negeri maju menjelang 2030,” ujar beliau. 

Justeru, pembinaan BAGSF-2 ini adalah bukti komitmen PETRONAS dengan kerjasama dan sokongan kepada Sarawak dan berharap akan dapat melihat lebih banyak lagi pada tahun-tahun akan datang.

Turut sama hadir Timbalan Premier Sarawak, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (II), Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi PETRONAS Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh, Timbalan Premier Sarawak, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Ultiliti Dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Parlimen Bintulu Dato’ Seri Tiong King Sing, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Pelabuhan) Dato Majang Renggi, Timbalan Menteri Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr. Hazland Abang Hipni dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *