Kerajaan Sarawak Peruntuk Dana Hampir RM1.0 Bilion Untuk Pakej BKSS 9.0

UKAS  > Edisi-Utama >  Kerajaan Sarawak Peruntuk Dana Hampir RM1.0 Bilion Untuk Pakej BKSS 9.0
0 Comments

ISNIN, 29 OGOS 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana yang berjumlah hampir RM1.0 bilion untuk pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 9.0 yang merangkumi lima langkah bagi tempoh enam bulan mulai Julai ini hingga Disember 2022.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, lima langkah tersebut adalah pemberian diskaun bil elektrik, diskaun bil air, diskaun taksiran kadar cukai pintu, diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai dan bahan binaan tambahan di bawah Peruntukan Khas Untuk Variasi Harga (VOP) 2.0.

Menurutnya, bagi diskaun bil elektrik, kerajaan Sarawak akan meneruskan inisiatif pemberian diskaun 5 peratus sehingga 25 peratus ke atas bil elektrik bulanan kepada pengguna domestik, komersil dan industri termasuk pengusaha dan peruncit makanan mulai Julai hingga Disember 2022.

“Diskaun ini akan memberi manfaat kepada 685,000 pemegang akaun di seluruh Sarawak. Kos keseluruhan diskaun bil elektrik ini berjumlah RM201.76 juta akan dibiayai oleh kerajaan Sarawak.

“Manakala bagi diskaun bil air, kerajaan negeri memberikan diskaun sebanyak 10 peratus sehingga 25 peratus ke atas bil air bulanan untuk pengguna domestik, komersil dan industri diteruskan mulai Julai hingga Disember 2022.

“Diskaun ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 685,000 pemegang akaun di seluruh Sarawak. Kos keseluruhan diskaun bil air ini berjumlah RM35.34 juta akan dibiayai oleh kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas mengumumkan BKSS 9.0 yang bertemakan “Meringankan Beban Kos Sara Hidup Rakyat Akibat Inflasi” di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Isnin.

Turur hadir, ketiga-tiga Timbalan Premier Sarawak iaitu, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar.

Mengulas lanjut, Premier Sarawak memberitahu, langkah tiga pula adalah diskaun 25 peratus untuk taksiran Kadar Cukai Pintu tahunan melebihi RM400 dan diskaun 30 peratus untuk Kadar Cukai Pintu tahunan RM400 ke bawah untuk premis kediaman, komersil, industri dan premis pegangan khas mulai tempoh sama.

Jelas beliau, langkah ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 500,000 premis di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sekaligus meringankan beban rakyat dan peniaga di Sarawak dan keseluruhan kos diskaun ini akan melibatkan perbelanjaan kerajaan Sarawak sebanyak RM54 juta.

“Langkah empat pula diskaun 50 peratus diteruskan untuk sewa pasar dan gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi peniaga dan penjaja yang melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM1.73 juta.

“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 10,000 penjaja yang berdaftar yang menyewa pasar dan gerai di bawah PBT dan badan-badan berkanun,” ujarnya.

Dalam pada itu, Premier Sarawak juga mengumumkan BKSS 9.0 kali ini juga mewujudkan Variasi Harga (VOP) 2.0 untuk menampung kenaikan harga bahan binaan untuk semua projek yang dibiayai kerajaan Sarawak dan dianggarkan kos yang ditanggung adalah kira-kira RM700 juta.

“Kelima-lima langkah yang diumumkan ini adalah kerana kerajaan Sarawak sentiasa memikir dan melaksanakan langkah-langkah terbaik untuk membantu rakyat agar memberi manfaat kepada semua golongan.

“Sebagai kerajaan yang mendengar dan prihatin terhadap keluhan rakyat, Kerajaan Sarawak telah mengambil keputusan untuk menyambung pemberian bantuan bagi meringankan beban rakyat Sarawak yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup, terutama yang berpendapatan rendah,” katanya. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *