226 Pemain Sertai Kejohanan Ping Pong Piala YB John Ilus

UKAS  > Edisi-Selatan >  226 Pemain Sertai Kejohanan Ping Pong Piala YB John Ilus
0 Comments

SELASA, 6 SEPTEMBER 2022

SERIAN: Seramai 226 orang pemain daripada 53 pasukan telah menyertai Kejohanan Ping Pong Piala YB John Ilus Siri Ke-5 yang diadakan di Dewan Serbaguna Ranchan, Serian pada Ahad.

Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 September lepas turut menampilkan 26 pemain kategori perseorangan bawah 15 tahun.

Difahamkan, kejohanan tersebut melibatkan penyertaan dari Malaysia dan juga negara-negara lain seperti Brunei Darussalam, Indonesia dan China.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus telah hadir bagi merasmikan majlis penangguhan dan penyampaian hadiah kejohanan tersebut.

Semasa berucap, beliau memaklumkan nama kejohanan ini akan dinaiktaraf sebagai Pertandingan Ping Pong Terbuka Serian pada tahun hadapan.

“Segala pengurusan, perancangan akan dibuat bersama-sama Persatuan Ping Pong Bahagian Serian, Majlis Daerah Serian serta Kementerian Belia dan Sukan.

“Apabila banyak agensi terlibat, status akan dinaikkan juga dan menjadikan kejohanan ini lebih menarik. Kita akan memilih tempat yang lebih baik dan mempunyai prasarana yang mencukupi untuk kejohanan ini,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Persatuan Ping Pong Negeri Sarawak turut memberi sumbangan wang tunai kepada Persatuan Ping Pong Bahagian Serian yang telah disampaikan oleh Naib Pengerusi Persatuan Ping Pong Negeri Sarawak, Anna Lau Pick Huong.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *