Kerajaan Sarawak Beri Inisiatif Kepada Kontraktor Terjejas Dalam Melaksanakan Projek HDA

UKAS  > Edisi-Utama, Edisi-Utara >  Kerajaan Sarawak Beri Inisiatif Kepada Kontraktor Terjejas Dalam Melaksanakan Projek HDA
0 Comments

SELASA, 6 SEPTEMBER 2022

MIRI: Mesyuarat Lembaga Pengurusan Highland Development Agency (HDA) kali ini telah membincangkan berkenaan status kemajuan 50 projek infrastruktur di kawasan HDA yang terletak di kawasan luar bandar, terpencil dan mencabar dari segi geografi yang sukar diakses. 

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, kebanyakan projek ini telah dianugerahkan pada tahun 2019 dan kemajuan kerja-kerja kontraktor terjejas disebabkan kenaikan harga semasa pasca wabak COVID-19. 

“Walaupun menghadapi cabaran, RECODA telah berjaya melaksanakan projek-projek dalam pelbagai peringkat pelaksanaan antaranya 3 projek jalan telah disiapkan, 17 projek sedang dalam pembinaan, 9 projek berada di bawah peringkat reka bentuk terperinci dan sebanyak 21 projek, termasuk 19 projek bekalan air dijangka akan ditender tidak lama lagi,” katanya dalam sidang media Highland Development Agency (HDA) di Hotel Pullman Miri pada Isnin. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah memperuntukan dana sebanyak RM1.5 bilion kepada RECODA untuk melaksanakan projek berimpak tinggi di kawasan seperti Bario, Mulu dan Long Lama yang meliputi 18,463 km persegi.  

Beliau yang juga Pengerusi HDA turut memberitahu inisiatif yang telah diberikan RECODA kepada kontraktor dalam menyiapkan projek yang belum siap dan mengalami masalah. 

“RECODA telah mengambil pelbagai intervensi untuk menyiapkan baki projek selaras dengan inisiatif Kerajaan Sarawak seperti pemberian EOT (84 hari dan 46 hari) dan penepian LAD, serta mengurangkan bayaran minimum interim kepada kontraktor dengan menggunapakai harga baharu yang telah diluluskan dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini,” ujar beliau lagi. 

Tambahnya, kesemua projek infrastruktur ini akan meletakkan asas untuk RECODA melaksanakan pelbagai program sosio-ekonomi bagi meningkatkan pendapatan dan sara hidup masyarakat luar bandar di kawasan HDA.  

Dalam perkembangan sama, Datuk Amar Douglas mengumumkan pelantikan UNIMAS Holdings Sdn. Bhd. sebagai perunding untuk membangunkan Pelan Pembangunan Sosio – Ekonomi ( SEDP ) 2022-2026 untuk HDA. 

“Objektif utama SEDP adalah untuk mengenal pasti peluang untuk rakyat menyertai aktiviti sosioekonomi dengan pelaburan sektor swasta yang lebih besar untuk pertumbuhan ekonomi dalam jangka pendek, pertengahan dan panjang dalam kawasan HDA,” katanya. 

Ujarnya lagi, RECODA komited untuk membangunkan lebih ramai usahawan luar bandar menerusi pelaksanaan 52 projek sosio-ekonomi berpotensi telah dikenal pasti merangkumi kluster eko-pelancongan, pertanian, perhutanan dan akuakultur.  

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Pengarah HDA Samuel Belawan dan Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Datu Ismawi Ismuni. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *